Serangan Berdarah Di Niger, 11 Maut

NIAMEY, 23 Okt – Satu serangan disyaki didalangi pejuang jihad menyasarkan tiga lori dan sebuah motosikal di barat Niger berhampiran sempadan Mali, menyebabkan 11 maut.
Sumber tempatan memaklumkan, serangan berlaku di jalan terpencil di kawasan dipanggil ‘tiga sempadan’ antara Niger, Mali dan Burkina Faso yang dikawal pemberontak jihad yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan kumpulan Negara Islam (IS).
Seorang pegawai kerajaan tempatan di kawasan Banibangou di mana serangan berlaku, berkata lelaki bersenjata memintas tiga trak di jalan terpencil pada pagi Sabtu dan membunuh sembilan di dalamnya.
Katanya, dua lagi mangsa yang menunggang motosikal turut maut.

Seorang ahli Parlimen tempatan turut mengesahkan jumlah membabitkan 11 mangsa, sambil menyatakan dua daripada trak terbabkr manakala sebuah lagi dilarikan.
Serangan oleh militan tidak begitu kerap sejak beberapa bulan kebelakangan ini di Banibangou, yang terletak di wilayah Tillaberi yang luas dan tidak stabil di barat Niger.
Orang awam sering terperangkap dalam pertempuran antara pemberontak dan pasukan keselamatan.
Pada November 2021, pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 69 anggota militia persendirian tempatan dibunuh secara beramai-ramai.
– AFP
