Serangan AS-Israel Peringatan Buat Negara Islam Perkukuh Perpaduan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan FELDA di Kuala Lumpur pada 5 Mac 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Konflik di Asia Barat ketika ini memperlihatkan betapa kelemahan ketara dunia Islam dalam menyuarakan pendirian bersama, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, serangan dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran seharusnya menjadi peringatan kepada negara Islam mengenai kepentingan memperkukuh perpaduan dan keberanian menyatakan pendirian.

Namun, tegas Anwar, apa yang berlaku kini menunjukkan dunia Islam masih belum mempunyai kekuatan mencukupi untuk bersuara secara tegas dalam isu membabitkan kepentingan umat.
“Perkembangan ini menggusarkan kita dan menunjukkan kelemahan ketara dunia Islam untuk menyuarakan pandangan secara bersama. Bukan untuk berperang, tetapi untuk menyatakan pendirian secara jelas pun tiada upaya.

“Boleh dikira dengan jari, (pemimpin Islam) yang mengucapkan takziah di atas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan keluarganya akibat peperangan itu,” katanya dalam Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan FELDA, di sini hari ini.
Anwar berkata, keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan negara Islam untuk mempertahankan kepentingan dan suara umat di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan penderitaan rakyat di Gaza dan Palestin yang berdepan kekejaman serta kemusnahan berterusan sejak sekian lama.
Tegas Perdana Menteri, penderitaan di Palestin yang membabitkan kehilangan nyawa orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan kemudahan awam seperti hospital dan sekolah sewajarnya menjadi peringatan kepada umat Islam mengenai pentingnya solidariti dan kesatuan.

Sehubungan itu, Anwar mengajak umat Islam mengambil iktibar daripada perkembangan semasa dengan memperkukuh perpaduan serta memperbaiki kekuatan dalaman masyarakat dan negara masing-masing.
Beliau menegaskan, Malaysia perlu terus memanfaatkan keamanan dan kestabilan yang dinikmati ketika ini bagi membangunkan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kita masih mempunyai keupayaan untuk menjaga pembangunan negara, sekolah, hospital dan kemudahan rakyat. Gunakan keamanan yang ada ini sebaik mungkin untuk memastikan masa depan negara terus terjamin,” katanya.
Sesi berkenaan merapatkan kembali hubungan antara kerajaan dan pengurusan Felda bagi memastikan setiap isu berhubung kebajikan dan pembangunan tanah rancangan itu dapat diberi perhatian dan tindakan segera oleh kerajaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
