Sepetang Bersama ALPH Hospital Rehabilitasi Cheras Rai Kakitangan, Pesakit

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras (ALPHRC) Andre Lai menyeru semua pemegang taruh bersama-sama memjayakan Karnival Jom Sihat Madani 27 Januari ini. Foto HRC
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras telah dilantik secara rasminya oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada 21 Oktober 2023.
Seramai 20 orang ahli daripada pelbagai latar belakang yang hebat telah dipilih bagi menjadi penghubung antara pihak hospital dan masyarakat.
Baru-baru ini berlangsung dengan jayanya Majlis Sepetang Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras (ALPHRC) Bersama Pesakit dan Kakitangan Hospital Rehabilitasi Cheras bagi meraikan kakitangan dan pesakit di HRC yang dianjurkan oleh pihak ALPHRC.
Dalam majlis tersebut, pihak ALPHRC yang diwakili oleh YBrs. Encik Lai Chen Heng selaku Pengerusi turut berbesar hati untuk menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh Terbaik Tahun 2023 bagi menghargai warga kerja yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang, berdedikasi dan berdisiplin sepanjang tahun 2023.

Beliau turut menyampaikan Ucapan Pengenalan beliau kepada seluruh kakitangan dan pesakit yang hadir.
Antara bait-bait ucapan beliau adalah dengan menggalakkan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak pemegang taruh hospital untuk bersama-sama menyertai penganjuran Karnival Jom Sihat Madani pada 27 Januari 2024 (Sabtu).
Selain itu juga, beliau turut menyampaikan Anugerah Ikon Pesakit Inspirasi Hospital Rehabilitasi Cheras bagi Tahun 2023 kepada Saudara Muhammad Nur Syaiful Bin Zulkafli berdasarkan perkembangan positif yang ditunjukkan selain semangat yang tinggi untuk pulih daripada kecederaan yang beliau hidapi.

Muhammad Nur Syaiful juga adalah merupakan Pemenang Pingat Emas Sukan Para Asia di Hangzhou pada tahun 2022.
Majlis tersebut turut diserikan dengan nyanyian merdu oleh Pemenang HRC Idol 2023 yang merupakan pesakit amputee, Saudara Nazrull Hisham, Persembahan Koir The Voice of HRC dan Ceramah Motivasi bertajuk “Tahun Baharu, Azam Baharu, Minda Baharu – Bukan Biasa-biasa” yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohd Shahrulnizam bin Mazlan, Penceramah Motivasi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir bersama majlis ini ialah YBrs. Dr. Faizul Nizam Abu Salim, Pengarah Hospital, YBrs. Puan Nor Erzny Ashura binti Ahmad, Timbalan Pengarah (Pengurusan), YBrs. Dr. Yusniza binti Mohd Yusof, Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi dan barisan Ahli Lembaga Pelawat Hospital.
Sekian, terima kasih.
- Teks disediakan Unit Perhubungan Awam, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
