Seorang Anggota TUDM Dan Jurulatih Maut Bom Lempar Meletup, Seorang Lagi Jurulatih Parah

GEMAS, 26 JUN – Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala seorang jurulatih parah selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di sini, hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku pada 12 tengah hari ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Sumber berkata, bom lempar berkenaan meletup di dalam bunker  ketika proses latihan dilaksanakan.

“Kejadian berkenaan membabitkan dua jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran dan Pengajian Pengkalan Udara Sendayan (Instar).

“Mangsa yang maut adalah penuntut dan seorang jurulatih manakala seorang jurulatih yang cedera dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, TUDM dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dalam masa terdekat.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan berkata, insiden itu membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 di tapak latihan kem terbabit.

“Kemalangan berlaku kira-kira jam 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang jurulatih maut manakala seorang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat,”katanya.

Menurut kenyataan itu, TUDM sudah menghubungi waris anggota yang terbabit dan menyerahkan kes kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

“Seterusnya, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Pihak TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan dijalankan oleh pihak PDRM selesai dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

“Maklumat perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *