Selepas Tasek Gelugor, Jerlun Pula Tarik Balik Dakwaan Kerajaan ‘Rai Kemenangan’ Kes Nik Elin

Ahli Parlimen Jerlun daripada Perikatan Nasional (PN) Abd Ghani Ahmad menarik balik dakwaannya pada perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadap Perdana Menteri semalam, seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang menarik balik kenyataan mendakwa kerajaan meraikan kemenangan dalam pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) bertindak sedemikian selepas diminta Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang menegur perkataan kerajaan meraikan dan merayakan itu ‘amat menikam‘.

Syahredzan Johan (PH- Bangi) ketika mencelah percaya dakwaan jahat itu hanya bertujuan untuk ‘content’ di media sosial TikTok.

Terdahulu, Ghani berkata beliau kecewa melihat pihak kerajaan seakan meraikan dan merayakan keputusan berhubung petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ahli Parlimen Jerlun daripada Perikatan Nasional (PN) Abd Ghani Ahmad menarik balik dakwaannya pada perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat.

“Nik Elin sangat gembira kerana masa ini seluruh jentera kerajaan persekutuan seakan-akan mendukung tindakan dan kemenangannya.

“Kerajaan Madani dan segala agensinya tangkas merayakan dan meraikan keputusan yang bakal lenyapkan sedikit demi sedikit bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya sebelum memperbetulkan kenyataannya itu dalam perbahasan titah Diraja.

Pada 9 Feb, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berkata pemfailan petisyen tu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *