Selangor Perintis Projek Pendigitalan Wanita KEADILAN

Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean bersama Rozana bergambar bersama peserta terdiri daripada Wanita KEADILAN Selangor semasa latihan sistem ASAK. Foto Norani Nordin
PENDAPAT, 5 Jun – Wanita KEADILAN terus menerajui inisiatif pendigitalan organisasi menerusi latihan pengendalian Sistem ASAK (Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan) yang dimulakan di Selangor pada 2 Jun 2024.
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean berkata, sistem ASAK merupakan kaedah pengurusan organisasi secara tertutup berasaskan web bagi memudah dan meningkatkan keberkesanan hal ehwal pengurusan dan pentadbiran organisasi Wanita KEADILAN pada semua peringkat.

Katanya latihan Sistem ASAK menjadi pengisian utama dalam Program Jelajah Pejabat Setiausaha Wanita Pusat yang bermula pada 2 Jun dan dijangka berakhir pada Ogos 2024.
Kata beliau lagi , bagi tujuan ini, Wanita KEADILAN Selangor menjadi negeri pertama merangkap perintis kepada projek pendigitalan ini kerana ia merupakan antara organisasi Wanita negeri yang paling matang dari segi pentadbiran sayap dan pentadbiran kerajaan negeri.
SAMBUTAN BAIK

Beliau berkata, Ketua Wanita KEADILAN Negeri Selangor, Rozana Zainal Abidin juga amat menyambut baik pemilihan Wanita Selangor kerana ia tidak pernah ketinggalan untuk menerajui sebarang usaha yang boleh meningkatkan daya saing wanita khususnya pimpinan wanita dari cabang sehingga ke peringkat negeri.
Jelas Ker Chean lagi, Rozana juga turut menghargai komitmen pimpinan Wanita peringkat cabang kerana sanggup meluangkan masa menghadiri program tersebut.
“Walaupun program tersebut dianjurkan semasa cuti panjang hujung minggu pada awal Jun namun komitmen yang ditunjukkan oleh peserta amat baik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujar beliau lagi Pendigitalan Wanita KEADILAN telah memasuki fasa ketiga apabila Pejabat Setiausaha Wanita Pusat memulakan jelajah turun ke setiap negeri untuk menjalankan latihan Sistem ASAK secara bersemuka dengan semua Ketua Wanita Negeri, Setiausaha Wanita Negeri, Ketua Wanita Cabang dan Setiausaha Wanita Cabang.
Tambah beliau lagi, fasa keempat projek ini akan disempurnakan apabila mesyuarat tahunan Wanita KEADILAN akan menggunakan Sistem ASAK untuk penyerahan laporan dan pendaftaran perwakilan ke Kongres KEADILAN kelak.

Katanya, terdahulu, fasa pertama projek pendigitalan ini merangkumi persediaan logistik Sistem ASAK dan Majlis Peluncuran Sistem ASAK yang dirasmikan oleh Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar pada 2 Mac lalu.
Menurut beliau lagi, sejurus selepas itu, peringkat kedua proses pendigitalan diteruskan dengan taklimat latihan dalam talian yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Wanita Pusat, Saira Banu dan Setiausaha Wanita Pengelola Syafiqa Zakaria selama tiga bulan.
– Oleh Noraini Nordin
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
