’Selamat Datang Datuk Seri Paduka TPr Hajjah Dr Maimunah Ke Kuala Lumpur’

Pelantikan Datuk Seri Paduka Dr Maimunah Mohd Sharif pasti akan diperhatikan wargakota apabila pentadbiran baharu DBKL diterajuinya difahamkan tidak akan berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa. Foto Facebook DBKL

PENDAPAT, 15 Ogos – Semalam tidak dinafikan merupakan hari yang penuh emosi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tatkala mengiringi persaraan Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh yang telah bersara sebagai Datuk Bandar.

Saya mengucapkan selamat bersara dan mendoakan yang terbaik untuk beliau namun percaya beliau akan ’meneropong’ DBKL dari kaca mata seorang bekas pemimpin pula.

Manakala menjelang subuh baharu, wargakota menerima Datuk Bandar baharu, Datuk Seri Paduka TPr. Dr Maimunah Mohd Sharif, seorang tokoh korporat ‘heavyweight’ dan lebih mengujakan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyerahkan surat pelantikan rasmi kepadanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto X Anwar Ibrahim

Saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Tetapi saya telah membaca pencapaiannya yang menakjubkan sepanjang 40 tahun pengalamannya sebagai penjawat awam.

Beliau menerajui MPSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang sehingga pertengahan 2010-an, sebelum beliau dilantik untuk berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Januari 2018 hingga Januari 2024.

Beliau mencipta rekod sebagai Datuk Bandar wanita pertama di Malaysia, dan juga wanita Asia pertama yang berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat.

Persaraan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh pasti akan dikenang jasa dan sumbangan beliau kepada pembangunan ibu negara yang lebih berdaya huni. Foto Facebook DBKL

Saya berkomunikasi dengan rakan-rakan mantan YB dan ahli majlis dari Pulau Pinang yang pernah berkhidmat dengannya ketika itu. Beliau terkenal sebagai perancang bandar yang berkesan dengan perwatakan tenang.

Kehebatannya sebagai perancang bandar adalah elemen yang diperlukan oleh Kuala Lumpur. Sebagai sebuah bandar antarabangsa dengan lima juta penduduk, rumah mampu milik adalah keutamaan paling mustahak dalam era Malaysia MADANI yang diterajui PMX.

Semasa saya menerajui jawatankuasa komunikasi korporat dan komuniti, saya sentiasa mempunyai akses kepada statistik aduan DBKL. Isu yang paling banyak diadukan ialah struktur haram dan peniaga kecil haram.

Saya harap isu-isu ini dapat diteruskan dan diharap di bawah pentadbiran Dr Maimunah, wargakota dapat membebaskan bandaraya daripada sarang peniaga haram.

Satu lagi yang saya suka ialah rancangan pelancongan antara bandar yang lebih bersinergi. Masjid India dan Jalan Petaling (Petaling Street) yang berjaya boleh diaktifkan sebagai pemangkin menyambut kedatangan pelancong ke KL dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hari pertama tugas selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur pasti akan menjadi memori indah buat Dr Maimunah dalam menggalas tugas meneruskan usaha baik pentadbiran Datuk Bandar terdahulu. Foto Facebook DBKL

Sebagai ibu kota negara, Kuala Lumpur sentiasa menjadi pintu masuk ke Malaysia dan DBKL pasti akan melakukan lebih banyak lagi supaya pelancong tinggal sehari lagi dan lagi dan lagi.

Banyak lagi aspek di Kuala Lumpur yang perlu diperbaiki. Tetapi saya percaya pada kemampuannya. Bagi orang yang serba boleh dan dinamik seperti beliau, pasti telah didedahkan dengan pengalaman antarabangsa dan saya pasti beliau boleh membawa nilai terbaik untuk mentadbir Kuala Lumpur pada skala lebih tinggi.

Pengalamannya dalam majlis bandar raya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan membantu menguatkuasakan pembaharuan institusi. Kerana saya percaya reformasi telah menjadi prinsip panduan dalam parti di mana Perdana Menteri Malaysia adalah presiden kita.

Marilah kita menjadikan Kuala Lumpur hebat. Percaya kepada Malaysia MADANI, kita akan maju bersama-sama menjadikan Kuala Lumpur antara bandaraya berdaya huni terbaik di Asia.

LAI CHEN HENG
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *