Sektor Korporat Diminta Rebut Peluang Raih Pelaburan Tahun Hadapan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 yang berlangsung semalam. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 24 Ogos – Kalangan dunia korporat diminta untuk merebut peluang bagi menarik pelabur ke negara ini ketika Malaysia bersiap-sedia menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
Menegaskan perkara itu menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor berkenaan perlu menonjolkan gabungan sebagai tarikan pelaburan dan perdagangan global.
“Keputusan Kerajaan untuk menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) juga membolehkan Malaysia meneroka pasaran baharu serta meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan, khususnya terkait sektor minyak sawit, getah dan elektronik,” katanya selepas merasmikan Majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 yang berlangsung pada Jumaat.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan sedang meneliti pelbagai kaedah untuk mempermudah urusan perniagaan, permodalan, tenaga mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran, selain sedia memberikan insentif percukaian kepada syarikat yang terbabit dalam aktiviti berimpak tinggi.
“Saya ulangi komitmen kerajaan untuk mengotakan janji reformasi meskipun perlu melaksanakan langkah sukar dan tidak popular, demi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik, mengurangkan defisit serta menjamin kemampanan negara berkekalan,” ujarnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tegas dan telus, selain mengurangkan insiden kecurangan dan rasuah dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk kumpulan perniagaan.
“Justeru, saya ambil kesempatan menggesa sektor korporat untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha melawan rasuah yang merosakkan etika, nilai, budaya dan masyarakat, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
“Jangan sesekali kita lupakan kisah tragis empayar hebat Rom yang runtuh akibat rasuah.
“Ini adalah masanya sektor swasta bekerjasama dengan kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan generasi masa depan, serta memastikan setiap rakyat di negara ini dapat menikmati kehidupan yang bermaruah,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
