Segerakan Perdamaian Menjelang PRU Thailand

BANGKOK, 28 Feb – Bekas Ketua Tentera, Prawit Wongsuwan, menggesa supaya perebutan kuasa di negara itu ditamatkan, beberapa bulan menjelang pilihan raya umum (PRU) yang mana beliau dijangka menyandang jawatan perdana menteri.

Bekas jeneral Thailand yang berpengaruh itu terbabit dalam rampasan kuasa terhadap dua kerajaan yang dipilih sebelum ini.

Dalam surat terbukanya semalam, Prawit berkata demokrasi harus dibenarkan dan kerajaan autoritarian pimpinan golongan elit akan sentiasa kalah kepada kuasa liberal yang dipilih.

“Satu kebenaran yang tidak dapat disangkal dalam PRU, di mana mereka yang merampas kuasa membentuk parti politik untuk bersaing, dan walaupun memiliki segala kelebihan, pihak autoritarian akan sentiasa kehilangan kuasa kepada demokrat liberal.

“Pengetahuan dan kebolehan golongan elit tidak boleh menjana kepercayaan orang ramai seperti ahli politik yang lebih rapat dengan rakyat, disayangi serta dihormati,” katanya dalam surat yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya.

Tidak dapat dipastikan apa yang mendorong pemimpin berusia 77 tahun itu untuk menulis surat berkenaan.

Beliau pernah terbabit dalam rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dikawal oleh keluarga jutawan, Shinawatra, sejak 2005.

Dalam surat itu, Prawit, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata golongan elit Thailand yang berpengaruh tidak mempercayai ahli politik dan meragui demokrasi atau keupayaan orang ramai memilih kerajaan.

Katanya, golongan elit merasakan perlu untuk mereka campur tangan.

Menjelang PRU yang dijadualkan berlangsung Mei depan, Prawit terpilih sebagai calon perdana menteri bagi parti pemerintah pro-tentera, Palang Pracharat, yang ditubuhkan selepas rampasan kuasa pada 2014.

Prawit berkata, masalah yang membelenggu Thailand disebabkan kuasa autoritarian dan demokrasinya ‘tidak dapat mencari titik persamaan kerana setiap pihak mahu menang dengan menjatuhkan pihak yang lain’.

Untuk rekod, Prawit berkemungkinan akan menentang Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai, yang juga anak perempuan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang dibuang negeri pada pilihan raya nanti.

Selain itu, beliau turut dijangka berdepan dengan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, yang menyertai Parti Bangsa Thai Bersatu dan membayangkan usaha untuk melanjutkan pemerintahannya sejak rampasan kuasa lapan tahun lalu.

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *