Sathiya Bersyukur PM Anwar Tidak Abai Anak Seni Tempatan

Ahmad Farhan Fauzi (kanan) mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Sathiya di kediaman pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, baru-baru ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Jul – Pelawak veteran, Sathiya, 60, meluahkan rasa syukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudi menghantar wakil bertandang ke kediamannya bagi menyerahkan sumbangan, baru-baru ini.
Sathiya atau nama sebenarnya, Sathia Periasamy memuji keprihatinan Anwar yang tidak pernah mengabaikan anak seni tempatan yang sudah lanjut usia seperti dirinya, malah sentiasa cakna dengan kesusahan dialami rakyat.
Sathiya berkata, Anwar tidak memilih dalam urusan memberi sumbangan atau bantuan buat mereka yang benar-benar memerlukan.

“Saya orang lama dalam industri seni, sudah 40 tahun berlakon, jadi mesti orang ramai termasuk Perdana Menteri kenal. Anwar sangat bagus, beliau hantar wakil ke rumah saya.
“Ada 15 orang ke rumah saya untuk menziarahi dan menghulurkan sumbangan.
“Saya juga sudah tidak mampu bekerja seperti dulu. Mulut masih boleh bercakap, tetapi tangan dan kaki tidak kuat disebabkan serangan angin ahmar ringan, baru-baru ini,” katanya kepada BH Online.

Semalam, Anwar dilapor menghulurkan sumbangan kepada pelawak yang sinonim dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu selepas diserang penyakit angin ahmar.
Dalam hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi pelawak veteran itu di kediamannya, baru-baru ini.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut mendoakan agar Sathiya pulih secepat mungkin dan urusannya dipermudah, sekali gus dapat berkarya serta berbakti kepada dunia seni tanah air.
Sementara itu, mengulas keadaan terkini, Sathiya berkata, dia terpaksa memperlahankan kerjaya seni dalam usia yang sudah lanjut dan kesihatan kurang baik.
“Saya sudah 60 tahun, kaki dan tangan tak kuat lagi, jadi saya buat apa yang termampu sahaja. Apa orang bagi, saya terima dan tak minta orang ambil saya buat show.
“Buat masa ini, saya kurangkan aktiviti dan mahu berehat di rumah. Kalau sebulan hanya satu atau dua show pun saya tak kisah,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya tertekan berdepan ujian sebegini, Sathiya berkata, tidak sama sekali dan tetap positif dengan menerima apa yang sudah tertulis untuknya.
“Ini sakit biasa dan saya terima apa yang berlaku. Semua orang juga pasti merasa sakit.
“Sekarang saya hanya perlu menyara isteri. Anak sudah berkeluarga, manakala rumah dan kereta tidak berhutang lagi. Dengan sikit wang pun saya masih boleh teruskan hidup,” katanya.
Sathiya memberitahu, dia perlu menjalani rawatan akupuntur tiga kali dan dua kali urutan dalam seminggu. Malah, menantu akan menghantarnya jika ada tawaran kerja seni.
“Saya tak boleh memandu sebab kaki tak kuat. Tapi, saya tak mahu sedih kerana sakit. Saya mahu terus gembira sahaja.
“Saya sudah buat komedi 40 tahun, jadi mahu terus dikenali dengan perwatakan itu,” katanya.
Terdahulu, Sathiya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika bersarapan di rumahnya. Bagaimanapun, pelawak itu dibenarkan keluar sehari kemudian.
Selain angin ahmar ringan, Sathiya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun terkawal.
Sementara itu Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju Lai Chen Heng yang mengiringi Ahmad Farhan memberitahu pihaknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan Anwar bagi membantu meringankan beban kos rawatan pelawak tersohor itu.
”Mewakili KEADILAN Cabang Wangsa Maju, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan khas yang diberikan seraya menaikkan semangat Sathiya untuk terus menghiburkan rakyat Malaysia menerusi komedi yang tak lapuk dek zaman,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
