Saifuddin Nasution Risau Masa Depan KEADILAN Tanpa Rafizi

Saifuddin Nasution hadir pada Kongres Nasional KEADILAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru pada 13 Mei 2025.
JOHOR BAHRU, 24 Mei – Suasana pilu menyelubungi Pusat Konvensyen Persada di sini saat Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebak ketika mengenang detik-detik kekalahan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti tersebut.
Dalam ucapannya di hadapan perwakilan, Saifuddin berkongsi momen peribadi yang menyentuh hati, apabila beliau sendiri menghantar Rafizi ke keretanya selepas keputusan rasmi diumumkan semalam.
“Saya hantar Rafizi selepas akhir pemilihan semalam, kami berpelukan,” katanya dengan nada terhenti-henti menahan emosi.

Di sebalik kesedihannya itu, Saifuddin turut meluahkan kebimbangannya terhadap masa depan kepimpinan parti kerana tokoh seperti Rafizi tidak lagi bersama mereka.
“Saya takut kehilangan seorang pemimpin baik seperti Rafizi,” katanya dengan penuh emosi mengenang kekalahan Rafizi.
Saat itu suasana hening di dalam dewan.

Beliau menyifatkan Rafizi bukan sekadar rakan seperjuangan, tetapi aset berharga yang telah banyak menyumbang dalam perjalanan reformasi sejak awal penubuhan KEADILAN.
Ucapan Saifuddin itu turut mencerminkan rasa hormat dan penghargaan mendalam terhadap komitmen serta pengorbanan Rafizi dalam membina kekuatan KEADILAN dan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
