Saifuddin Nasution Alu-Alukan Kehadiran 10 Perwakilan Asing Tinjau Operasi ESS Zone

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan tinjauan udara bersama-sama pegawai KDN dan ESSCOM bagi meneliti aspek keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS ZONE) di Tawau pada Jumaat. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
TAWAU, 26 Jul – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengalu-alukan lawatan 10 perwakilan asing yang menerima jemputan untuk menghadiri program taklimat dan tinjauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), bermula semalam.
Beliau berkata, program dua hari itu bertujuan memberi pengalaman kepada delegasi dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, Denmark, Jepun, Jerman, Perancis, Kanada dan Finland mengenai keselamatan di Pantai Timur Sabah, terutama ESS Zone.
“Saya berharap lawatan wakil asing ini akan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai situasi keselamatan dan kesejahteraan di ESS Zone kerana kami akan berkunjung ke Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Kapalai (di Semporna). Semoga usaha kecil ini akan membantu menjadikan bukan sahaja ESS Zone tetapi juga Sabah lebih makmur.

“Saya amat berharap supaya melalui program ini, anda akan dapat merasai situasi yang selamat dan pada masa sama, menikmati keindahan pemandangan serta mengembalikan kenangan indah ini ke negara anda, sekali gus mengajak rakan senegara anda untuk mengalami perkara sama iaitu menikmati pengalaman yang menakjubkan di Sabah,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program itu, di sini, malam tadi.
Seterusnya, Saifuddin Nasution berkata, kedudukan strategik Sabah di rantau ini secara langsung boleh menyebabkan kebimbangan berkaitan pencerobohan, penculikan, pelanunan, penyeludupan kontraban dan pemerdagangan manusia.
Bagaimanapun, katanya, beliau mempercayai sepenuhnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi membendung serta menangani isu berkenaan.

“Kami merekodkan sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020. Bagi pihak ESSCom, kami amat menggalak serta mengalu-alukan kehadiran orang luar untuk datang serta melawat Pantai Timur Sabah dan serahkan isu keselamatan kepada kami kerana itu adalah keutamaan kami.
“Bagi kami, pelancong adalah aset kami. Justeru, kami perlu dan harus sedaya upaya melindungi mereka daripada sebarang ancaman serta bahaya.
“Bagi membuktikan keseriusan kami dalam perkara ini, ESSCom dengan kerjasama Kerajaan Sabah merancang untuk memperkenalkan sistem aplikasi telefon pintar yang dipanggil Sahabat Sabah,” katanya.
ESSCom juga adalah antara sumber rujukan bagi pelabur yang ingin mendapatkan nasihat dari segi keselamatan di ESS Zone.
Saifuddin Nasution berkata, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), kedudukan geografi negeri ini adalah strategik, malah kerajaan negeri telah mengenal pasti pantai timur sebagai hab pertumbuhan ekonomi yang baharu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
