Rusuhan Indonesia: Kena Ceroboh Dua Kali, Tentera Kawal Kediaman Menteri Kewangan

Kediaman peribadi Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati di Tangerang, Jakarta kini dikawal TNI susulan pencerobohan sebanyak dua kali sejak 30 Ogos 2025. Foto Detik.com

JAKARTA, 1 Sep – Anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) memperketatkan kawalan di kediaman peribadi Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, di Jalan Mandar X, Bintaro Sektor 3A, Tangerang Selatan, susulan insiden pencerobohan yang berlaku awal pagi semalam.

Berdasarkan keterangan beberapa orang saksi di sekitar kawasan itu kepada ANTARA News, kejadian penjarahan itu berlaku dua kali.

Pengawal keselamatan di rumah itu, Joko Sutrisno, berkata insiden berlaku kira-kira jam 1 pagi sebelum disusuli pencerobohan kali kedua jam 3 pagi.

Kematian Affan Kurniawan mencetuskan gelombang kemarahan rakyat di seluruh Indonesia sejak beberapa hari lalu. Foto AFP

Keterangan Joko selari dengan maklumat daripada beberapa penduduk lain termasuk saksi.

Bagaimanapun, Sri Mulyani tiada di rumah sewaktu insiden tercetus.

Joko memaklumkan hanya dia dan satu keluarga kepada Sri Mulyani berada di dalam rumah ketika kejadian dan mereka dipindahkan ke rumah jiran bersebelahan sebelum kumpulan perusuh mula menjarah kediaman berkenaan.

Tinjauan di lokasi mendapati masih terdapat longgokan barangan di hadapan rumah yang cuba dijarah tetapi tidak sempat dibawa lari oleh perusuh.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto menziarahi keluarga Affan Kurniawan yang maut dilanggar brimob (kenderaan taktikal polis) dan menghadiahkan sebuah rumah bagi merealisasikan impian allahyarham kepada ibunya. Foto Antara News

Menurut Joko dan saksi lain, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu dan tiada kenderaan yang dirosakkan kerana tiada kereta di kediaman itu pada waktu kejadian.

Saksi berkata, penjarahan kali kedua adalah yang paling membimbangkan kerana membabitkan sehingga ribuan orang.

Seorang jiran yang enggan namanya didedahkan berkata, pelaku terdiri daripada golongan muda.

Menurut saksi, pergerakan kumpulan itu kelihatan terancang apabila mereka berkumpul terlebih dahulu pada 12.30 tengah malam di hadapan kompleks Jalan Mandar sebelum menggunakan isyarat bunga api untuk menceroboh masuk.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *