Rusia Sambut Baik Minat Malaysia Sertai BRICS – Lavrov

Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 28 Jul – Rusia mengalu-alukan minat Malaysia terhadap penyertaan dalam BRICS dan akan membantu untuk mempromosikan minat itu, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Ahad.

“Malaysia telah menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungan dengan BRICS.

“Kami secara aktif menyokong minat ini dan selaku pengerusi akan membantu mempromosikan minat ini,” kata menteri itu semasa sidang media selepas lawatannya ke Malaysia, menurut laporan Sputnik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Putrajaya pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu, Lavrov melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya di mana kedua-dua pemimpin membincangkan hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi BRICS.

Pada pertemuan itu Anwar menyatakan bahawa Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kepada Rusia.

Rusia merupakan Pengerusi organisasi itu yang merangkumi Brazil, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Putrajaya pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau juga telah menghadiahkan beberapa buah buku kepada pemimpin Malaysia, termasuk karya Alexander Pushkin dan penulis Rusia lain serta karya penyair Malaysia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia.

Secara berasingan, Sputnik juga melaporkan bahawa Lavrov, dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengingatkan Menteri Luar itu mengenai undangannya untuk melawat Rusia.

Mohamad dan Lavrov telah menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan selama seminggu di Laos, yang berakhir semalam.

Kementerian Luar Rusia dalam Telegram rasminya berkata semasa pertemuan itu, kedua-dua Menteri Luar turut bertukar nota mengenai penubuhan kerjasama antara Akademi Diplomatik Kementerian Luar Rusia dan Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Luar Malaysia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *