RON95: Harga Kekal, Bekalan Stabil Antara Tindakan Tepat PM Anwar

Keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bagi rakyat Malaysia menerusi BUDI MADANI sebanyak RM1.99 seliter bagi 300 liter yang diperkenal pada 30 September tahun lalu, amat melegakan rakyat. Foto Faizul Abd Ghani

PENDAPAT, 12 Mac – Jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekalan produk petroleum negara yang mencukupi sekurang-kurangnya bagi tempoh kira-kira dua bulan dari sekarang, amat melegakan rakyat.

Itu berita pertama.

Namun berita kedua sebenarnya paling melegakan apabila kerajaan membuat keputusan harga RON95 bagi rakyat Malaysia menerusi BUDI MADANI sebanyak RM1.99 seliter bagi 300 liter yang diperkenal pada 30 September tahun lalu turut kekal biarpun harga pasaran telah meningkat tiga kali ganda, iaitu sekitar RM5.10 seliter.

Memang mengejutkan namun bagi Anwar yang juga Menteri Kewangan, biarpun ketegangan di Asia Barat masih berterusan, ia menunjukkan keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal.

Tiada pembelian panik, tiada yang beratur panjang di stesen minyak seperti beberapa negara jiran dan jaminan kerajaan MADANI sesungguhnya merupakan rahmat besar kepada rakyat.

“Kita dalam keadaan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah. Bila kita semak dengan PETRONAS terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.

Petikan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 11 Mac 2026. Foto Kementerian Kewangan

“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan mengenai isu tatakelola pengurusan yang cekap, beramanah dan profesional,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Malah, bagi mendepani keadaan berkenaan, tumpuan Kerajaan adalah untuk memelihara kepentingan dan kebajikan rakyat termasuk mengekalkan harga BUDI95 pada paras RM1.99 setiap liter walaupun harga pasaran kini jauh lebih tinggi.

Mungkin sedikit terbeban ekoran peningkatan subsidi kepada rakyat kerana harga minyak dunia mencecah AS$120 setong dan turun kepada AS$90 semalam, ia jelas memberi komitmen serius kerajaan dalam mengawal bekalan dan harga di pasaran.

Senarai harga terkini perbandingan harga petroleum majoriti rakyat di Asia Tenggara dan Arab Saudi pada 11 Mac 2026. Foto Kementerian Kewangan

“Saya sudah minta Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) mempengerusikan jawatankuasa berhubung dengan penguatkuasaan.

“Umpamanya diesel lebih terkawal di Semenanjung, tidak naik di Sabah dan Sarawak. Ini memungkinkan penyeludupan besar-besaran.

“Jadi, saya tugaskan TPM bersama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan yang lebih tegas terhadap kalangan yang cuba mengambil kesempatan dan menyeludup,” katanya.

Maka, sampai masanya pihak berkuasa serta rakyat yang cintakan negara yang tidak mahu subsidi dijarah penyeludup dan warga asing, sama-sama memainkan peranan membanteras kegiatan haram ini terutama di kawasan sempadan.

Penegasan Anwar juga dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan dengan pembatalan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini juga antara langkah tepat menyediakan ekosistem ekonomi negara yang lebih berdaya tahan sekiranya perang di Asia Barat berlanjutan lebih daripada tiga bulan.

Apapun, tanpa kebijaksanaan Kerajaan MADANI sekarang, sudah pasti rakyat akan terkesan dengan senario tidak menentu di rantau Teluk dan tidak pula sampai mencatu bekalan bahan api sedia ada.

Oleh Faizul Abd Ghani

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *