Ribut Pasifik ‘Pineapple Express’ Badai California, Arizona

Penduduk membersihkan kawasan rumah selepas ribut pasifik melanda California dan barat daya Arizona pada Selasa. Foto Getty Images
LOS ANGELES, 6 Feb – Beberapa hari selepas membadai pantai barat Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, ribut pasifik ‘Pineapple Express’ kedua melanda California semalam, menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.
Amaran cuaca ekstrem banjir, angin kencang dan ribut musim sejuk dikeluarkan di sebahagian California dan barat daya Arizona yang menempatkan kira-kira 35 juta penduduk semalam, selain pihak berkuasa menasihati orang ramai mengehadkan pemanduan.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) merekodkan jumlah hujan sangat tinggi akibat ribut yang melanda California Utara kelmarin, dengan angin kuasa taufan bersama kerpasan kuat ketika bergerak ke selatan, malam Ahad dan Isnin.
NWS berkata, lebih 25.4 cm hujan turun sejak Ahad di Los Angeles, dengan jangkaan hujan lebih banyak sebelum ia dijangka reda, hujung minggu ini.

“Pencemaran air yang ketara sedang berlaku dan ia dijangka merebak,” katanya dalam notis dipaparkan secara dalam talian.
Jabatan Polis Los Angeles melaporkan puluhan kemalangan jalan raya dengan kecederaan sejak ribut membadai, jauh lebih banyak berbanding biasa.
Ketua Bomba Bandar, Kristin Crowley pula berkata pasukannya bertindak balas terhadap sekurang-kurangnya 130 kejadian banjir sehingga pagi semalam.
Ribut itu turut membawa hujan lebat bersama salji tebal di kawasan gunung ke California dengan pakar meteorologi menyifatkannya sebagai sungai atmosfera, iaitu arus udara besar berisi lembapan yang dialirkan ke dalam daratan dari Pasifik.
Kejadian terkini serta ribut kurang kuat yang melanda California pada Rabu dan Khamis, juga dikategorikan sebagai ‘Pineapple Express’ jenis sungai atmosfera yang bermula dari air subtropika di sekitar Hawaii.
Angin dengan kelajuan hingga 121 kilometer sejam pada Ahad, menumbangkan pokok dan wayar utiliti di seluruh Teluk San Francisco dan Pesisir Tengah California, menyebabkan bekalan elektrik kepada kira-kira 875,000 rumah, terputus ketika kemuncak kejadian terbabit.
Kelmarin, sekurang-kurangnya dua maut akibat dihempap pokok, masing-masing seorang lelaki berusia 82 tahun di Yuba City, manakala seorang lelaki berusia 45 tahun di Boulder Creek di kawasan perairan Gunung Santa Cruz.
NWS berkata, ancaman banjir kilat terbesar semalam, tertumpu di Selatan California ketika ia perlahan-lahan berpusing dan mendorong lebih jauh ke kawasan pedalaman California, manakala jurucakap cuaca menolak kemungkinan impak ‘menimbulkan bencana’. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
