Raya 2026: Elak Terjerumus Dalam Kancah Hutang Tak Berkesudahan

Kenaikan gaji penjawat awam yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bermakna jika penjawat awam tidak mengubah mentaliti ‘suka berhutang’ atas alasan ‘mudah dapat berhutang’.

PENDAPAT, 14 Mac – ‘Biar papa asal bergaya’ nampaknya sudah tidak lagi relevan digunakan sama ada dalam penulisan apatah lagi dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Hampir setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun, trend berhutang dalam kalangan masyarakat, termasuk penjawat awam, sering meningkat bagi menampung pelbagai keperluan perayaan.

Walaupun keinginan untuk meraikan Aidilfitri secara meriah adalah sesuatu yang difahami, amalan berbelanja melebihi kemampuan kewangan berpotensi menjerumuskan sebahagian penjawat awam ke dalam kancah hutang yang berpanjangan.

Tidak mungkin faktor penyumbang kepada situasi ini semata-mata daripada tekanan sosial saudara mara atau rakan sekerja serta keinginan untuk menyediakan persiapan terbaik kepada keluarga seperti membeli pakaian baharu, menyediakan juadah istimewa, menghias rumah dan menampung kos perjalanan pulang ke kampung.

Lebih buruk, dalam keadaan terdesak, ada yang mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman peribadi, menggunakan kemudahan kad kredit secara maksimum atau membuat pembelian secara ansuran tanpa menilai kemampuan sebenar kewangan mereka.

Bagi penjawat awam yang mempunyai pendapatan tetap, kemudahan pinjaman daripada institusi kewangan kadangkala dilihat sebagai pilihan yang mudah. Namun, tanpa perancangan kewangan yang teliti, komitmen bayaran balik setiap bulan boleh menjadi beban dalam jangka masa panjang.

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi penjawat awam dan pesara, menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri, masing-masing RM500 dan RM250 wajar dimanfaatkan dengan berhemah. Walaupun sedikit sebanyak meringankan beban, penerima perlu memastikan wang berkenaan digunakan dengan bijak.

Statistik menunjukkan jumlah pinjaman penjawat meningkat sebanyak 20 peratus daripada RM938 juta kepada RM943 juta dalam tempoh sebulan tahun ini, melibatkan seramai 900,826 peminjam.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya menerima 58,000 borang kebenaran potongan gaji pada Januari sebelum meningkat kepada 94,000 borang pada Februari 2026.

Beliau berkata, jumlah penjawat awam yang memohon pinjaman baharu menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri terus meningkat namun adakah mereka yang meminjam ini mampu membayar balik pada tempoh yang ditetapkan?

Penjawat awam disaran menggunakan setiap sen dengan bijak dan tidak terpedaya dengan tawaran seperti BNPL yang bakal menjerut hutang lebih besar pada masa depan.

Jika hutang terus bertambah dan diburukkan lagi dengan kaedah ‘Beli Dulu Bayar Kemudian’ atau lebih sinonim dengan BNPL, ia boleh menjejaskan kestabilan kewangan individu dan keluarga, malah memberi tekanan kepada kesejahteraan hidup.

Selain itu, trend berhutang yang tidak terkawal juga boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja. Tekanan kewangan sering dikaitkan dengan masalah emosi dan psikologi yang akhirnya menjejaskan tumpuan serta prestasi di tempat kerja.

Oleh itu, penjawat awam disaran mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan merancang kewangan lebih awal sebelum musim perayaan. Aidilfitri sebenarnya lebih bermakna apabila diraikan dengan kesederhanaan serta kemampuan sendiri.

Pengurusan kewangan bijak wajar digerakkan kerajaan bagi melindungi kakitangan awam daripada menjadi mangsa hutang berlarutan yang tidak lagi mampu untuk diselesaikan. Foto Bernama

Sudah sampai masanya kerajaan menekankan malah mewajibkan kursus pengurusan kewangan yang bijak kepada penjawat awam kerana ia bukan sahaja dapat menyambut perayaan dengan tenang, malah dapat mengelakkan diri daripada terperangkap dalam beban hutang yang berpanjangan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *