‘Ratu Naga’ Kena ‘Kutip’ Pagi Tadi

Ratu Naga ditahan SPRM pagi tadi. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Individu pro-Perikatan Nasional (PN), Ratu Naga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Nabila Khairudin yang mewakili Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah melalui kenyataan hari ini.
Menurutnya, anak guamnya itu ditahan ketika rumahnya diserbu SPRM pagi tadi.
“Kenyataan hari ini oleh SPRM berkenaan anak guam saya, Syarul Ema atau Ratu Naga hanya dipanggil untuk dirakam keterangan adalah tidak benar.
“Kediamannya diserbu pagi tadi dan dia dibawa menggunakan kenderaan SPRM ke Putrajaya malah pegawai tidak membenarkan suaminya dan peguam bertemu dengannya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Ratu Naga ditahan di rumahnya pada jam 9.30 pagi tadi.
Suaminya Ezad Zainal dilapor berkata, lima pegawai SPRM tiba di rumah mereka di Jalan Klang Lama lalu menggeledah kira-kira 20 minit dan merampas telefon bimbit serta laptop.

Mengulas lanjut Nabila berkata, tindakan itu membuktikan bahawa anak guamnya itu ditahan oleh SPRM.
“Bagi SPRM menyatakan ia bukan satu tangkapan adalah mengarut dan bertentangan dengan fakta
“Sehingga kini saya masih menunggu di SPRM Putrajaya untuk bertemu anak guam saya dan setakat ini mereka tidak membenarkannya,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
