Ramadan 1447H: Hamas Kecam Israel Tahan Imam Masjid Al-Aqsa

Hamas mengecam rejim Israel kerana menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammed al-Abbasi, dari dalam pekarangan masjid di Baitulmaqdis pada 17 Februari 2026.
BAITULMAQDIS, 17 Feb – Seakan mencari ‘pasal’ menjelang Ramadan, rejim Israel dikecam Hamas kerana menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammed al-Abbasi, dari dalam pekarangan masjid di Baitulmaqdis yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.
Agensi berita Palestin WAFA, memetik sumber tempatan, melaporkan bahawa “tentera Israel menahan Sheikh al-Abbasi di dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa” tanpa memberikan sebarang alasan.
Ia menambah bahawa penahanan itu “berlaku di tengah-tengah tindakan Israel yang semakin memuncak terhadap Masjid Al-Aqsa yang diberkati, termasuk sekatan ke atas imam, penceramah dan jemaah yang berkawal di sana, had kemasukan jemaah, serta pencerobohan yang semakin sengit oleh pendatang haram di bawah perlindungan ketat polis Israel.”

Pertubuhan pro-rakyat Palestin itu mengecam penahanan al-Abbasi dalam satu kenyataan, dengan menyatakan bahawa beliau telah “dikenakan perintah larangan daripada memasuki masjid.”
Pergerakan itu berkata tindakan tersebut “merupakan campur tangan jelas dalam urusan Al-Aqsa dan serangan yang tidak boleh diterima terhadap imam-imamnya.”
Hamas menyeru “rakyat Palestin di Baitulmaqdis, di seluruh Tebing Barat dan di dalam wilayah 1948 untuk terus berkawal di Al-Aqsa, mengunjungi dan mengekalkan kehadiran, serta menjadi benteng menentang rancangan untuk mengganggu identitinya.”
Hamas juga menggesa Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta negara Arab dan Islam “untuk mengambil tindakan segera melalui semua saluran yang mungkin bagi melindungi Masjid Al-Aqsa daripada bahaya Yahudisasi, dan mengambil langkah praktikal untuk menekan pihak penjajah serta memaksa mereka menghentikan pelanggaran tersebut.”
Baitulmaqdis yang diduduki, terutamanya di Kota Lama dan kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa, menyaksikan ketegangan yang semakin meningkat di tengah-tengah tindakan keselamatan Israel yang diperketatkan, termasuk penangkapan dan perintah larangan terhadap tokoh agama serta aktivis Palestin di Baitulmaqdis.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

