Rakyat Wajar Kenang Perit Jerih Perjuangan Pahlawan Negara – EXCO Pulau Pinang

BAYAN BARU, 31 Jul – Segala pengorbanan dan jasa para perajurit mempertahankan negara dari ancaman musuh wajar dikenang segenap lapisan masayarakat terutama generasi muda hari ini.
Sambil menzahirkan penghargaan kepada para perajurit negara, EXCO Kerajaan Pulau Pinang, Dato’ Abdul Halim Hussain menyeru seluruh rakyat mengenang budi dan bagi mengingati kembali perit jerih erti perjuangan mereka yang telah banyak berkorban demi kemakmuran negara.

“Hari Pahlawan besar ertinya bagi setiap warganegara.
“Kita wajar mengingati tarikh 31 Julai setiap tahun sebagai satu cara mengenang budi dan bagi mengingati kembali perit jerih erti perjuangan para pahlawan negara yang telah banyak berkorban demi kemakmuran negara,” ujarnya dalam perutusan sempena Hari Pahlawan yang disambut hari ini.
Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut mengungkap sumbangan mereka dalam nota penghargaan sempena Hari Pahlawan 2022 yang dikongsi dari laman Facebook rasmi pusat khidmat beliau:
“Tanpa pengorbananmu
Tiada erti kemerdekaan yang dikecapi
Terima kasih Pahlawan Negara,” ujar beliau.

Hari Pahlawan mula disambut pada 31 Julai 1960 apabila tamatnya darurat kerana ramai anggota keselamatan terkorban dan dilaksanakan bagi mengingati mereka yang telah gugur, dihargai atas jasa dan keberanian dan hasilnya wujud kemakmuran dan ketenteraman awam sehingga ke hari ini.
Tahun ini, hari bersejarah itu akan disambut di Dataran Pahlawan, Putrajaya oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah.
