Rafizi Gesa KEADILAN Siapsiaga PRU15

SHAH ALAM, 27 Ogos – Kesiapsiagaan dalam menentukan kalah menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menjadi keutamaan mana-mana parti dan gabungan dalam suasana politik panas yang menimpa Umno-Barisan Nasional (BN) petang tadi.
Namun ia tidak menjadi masalah buat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) apabila difahamkan rundingan pembahagian kerusi di peringkat Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU-15 dijangka selesai dalam tempoh sebulan dari sekarang, jelas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, senarai pendek pertama bagi calon-calon KEADILAN untuk kawasan yang akan ditandingi juga akan diselesaikan dalam tempoh sebulan.
“Saudara saudari apabila balik nanti dalam masa seminggu kita akan bagi arahan seterusnya di peringkat negeri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN 2022, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, ahli-ahli KEADILAN tidak perlu bertanya bila PRU akan diadakan, sebaliknya harus bersedia pada bila-bila masa untuk masuk bertanding sebagai parti yang kuat.
Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan semua ahli parti untuk menetapkan matlamat dan niat untuk menghadapi PRU bukanlah bagi mendapatkan habuan dan jawatan serta menikam belakang.
Turut hadir, Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim; Pengerusi Majlis Penasihat, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib-naib presiden dan pimpinan serta anggota parti dari seluruh negara.
Difahamkan lebih 4,000 orang membanjiri dewan konvensyen berkenaan yang memberi isyarat kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) agar tidak memandang ringan kekuatan KEADILAN dan PH.
