Rafizi Bakal Buat Penampilan Semula Di Pandan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli akan membuat penampilan sulung di kawasan parlimennya dahulu hari ini selepas beliau mengundurkan diri dari politik tanah air dan membuat keputusan tidak bertanding dalam PRU14.
Penampilan kali pertama ini adalah bersempena Jelajah Trak Ayuh Malaysia yang kini menembusi negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan yang terbaharu di Kedah pada Ahad lalu.
“Ini ucapan saya di Pandan yang pertama selepas saya mengundurkan diri dari politik dan tidak bertanding dalam PRU14.
“Keluarga isteri saya memang tinggal di Pandan, selain ramai kawan-kawan yang banyak membantu sejak 2011,” katanya dalam catatan di Facebook pada Ahad.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, sejarah parlimen ini agak unik kerana sejak kerusi Parlimen ini diwujudkan, semua ahli parlimen yang mewakili Pandan adalah dari kalangan pemimpin nasional.
Sebelum ini, Pandan merupakan kubu kuat BN yang diwakili bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat dan ketika tsunami politik 2008 berlaku dan Selangor dimenangi KEADILAN dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat ketika itu, satu-satunya kerusi BN/MCA yang masih kekal dengan BN ialah Pandan.

“Sejarah Pandan agak unik. Sejak kerusi Parlimen ini diwujudkan, semua ahli parlimen yang mewakili Pandan adalah pemimpin nasional.
“Pandan sebelum ini adalah kubu kuat BN yang diwakili bekas Presiden MCA, Dato’ Seri Ong Tee Keat. Bila tsunami politik 2008 berlaku dan Selangor dimenangi KEADILAN dan rakan politik dalam Pakatan, satu-satunya kerusi BN/MCA yang masih kekal dengan BN ialah Pandan.
“Saya menang dengan majoriti besar di Pandan dalam PRU2013 dan menjadikan Pandan dalam senarai 5 kerusi paling kuat untuk KEADILAN.
“Menjelang PRU2018, saya telah dijatuhkan dua hukuman berhubung pembongkaran 1MDB dan NFC. Untuk mengelakkan pencalonan dibatalkan, saya memilih dari awal lagi untuk tidak bertanding dan berkempen memenangkan PH di seluruh negara,” ujarnya.
Jelasnya lagi, KEADILAN meletakkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Parlimen Pandan dan beliau seterusnya menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah negara ini.
“Insya Allah saya berdoa Pandan terus mencipta sejarah sebagai sebuah kerusi Parlimen yang memainkan peranan penting mencorak kemajuan dan kesejahteraan negara,” tambahnya.
Beliau sempat menitipkan serang Kalau pantun yang berkaitan dengan Pandan buat pembaca Facebooknya:
“Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga…”
Siaran langsung menerusi Facebook Live akan turut disiarkan bermula jam 9 malam ini bagi tontonan rakyat Malaysia ke seluruh dunia.
Ayuh kita beramai-ramai turun memeriahkan jelajah ini dan sebarkan kepada seluruh rakyat.
