Rafizi Adalah ‘Panadol’ Saya – Anwar

SHAH ALAM, 17 Jul – Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menganggap kehadiran Rafizi Ramli dalam barisan pemimpin sebagai timbalannya kali ini sebagai penawar kepada masalah dihadapinya.
Beliau mengakui Rafizi memang sinonim dengan kenyataan kontroversi yang memberi masalah kepadanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, kehadiran Rafizi akan memperkuatkan parti dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Sementara itu, KEADILAN akan mengadakan perbincangan dengan DAP dan Amanah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan PH yang akan berakhir 31 Julai ini.

Anwar berkata ini kerana DAP dan KEADILAN mempunyai ahli majlis baharu selepas pemilihan kedua-dua parti yang diadakan baru-baru ini.
“Bagi tafsiran MoU, ia tidak semestinya berakhir pada Julai atau semasa pilihan raya.
Jadi kita akan melihat kerana kita tidak mahu dilihat tidak memberi tumpuan kepada masalah rakyat.
“Sebagai contoh, sebaik sahaja kita menamatkannya (MoU), adakah kita memaksa diadakan pilihan raya umum? Kita tidak mahu memaksa kerana terdapat perkara penting yang perlu ditangani,” katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional Ke-16 KEADILAN di sini hari ini, mengulas sama ada PH berminat untuk melanjutkan MoU berkenaan.
