Pyanhabib Meninggal Dunia

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman meninggal dunia di Hulu Kelang sebentar tadi.
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Seniman tanah air, Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib, dilaporkan meninggal dunia, sebentar tadi.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi dalam ciapan di aplikasi X memaklumkan Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Hulu Kelang, dekat sini.
“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafasnya terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang, sebentar tadi.
“Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepada Allah jua kita akan kembali,” tulisnya di laman sosialnya.

Turut mengesahkan pemergian seniman itu, rakan artis yang juga kartunis Zunar yang memaklumkan berita sedih itu juga di laman X.
Maklumat lanjut tentang pemergian allahyarham akan dikemaskini dalam masa terdekat.
Pyanhabib dilahirkan pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak.
Pada 1973 beliau bercita-cita menjadi penyair, bercita-cita menjadi orang yang menulis puisi.
Di usia 15 tahun, beliau berkongsi bergilir-gilir membaca akhbar Utusan Zaman bertulisan jawi di kedai runcit di kampung.
Melihat-membaca puisi-puisi yang menempel dalam ruangan cerpen dalam akhbar bertulisan jawi itu mendorong beliau bercita-cita menjadi seorang penyair.
Beliau mula menaip puisi dengan menggunakan mesin taip Olivetti milik A. Latiff Mohidin di kamar Latiff di Anak Alam pada tahun 1976, lalu disiarkan oleh Usman Awang dalam Dewan Sastera pada tahun 1980-an.
Dua buah kumpulan puisinya secara indie ialah ‘Suara’ dan ‘Saraf Dukaku’.
‘Balada Pyanhabib’ ialah koleksi terlengkap kepenyairan beliau. Pyan hilang pendengarannya ketika berusia 12 tahun setelah diserang demam panas.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
