Putin Pilih Biden Berbanding Trump Kerana Mudah Diramal

Presiden Russia Vladimir Putin memilih presiden Amerika sekarang Joe Biden berbanding Donald Trump kerana Biden mudah diramal tindakannya. Foto Perkhidmatan Media Presiden Russia
LONDON, 15 Feb – Presiden Russia, Vladimir Putin, dalam satu temu bual yang disiarkan semalam, berkata dia lebih gemar Joe Biden berbanding Donald Trump, namun bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana presiden Amerika Syarikat (AS).
Putin ditanya oleh pengacara, Pavel Zarubin, ‘siapa yang dikira lebih baik’, sama ada Biden yang juga pemimpin Demokrat, atau Trump yang mewakili Republikan.
Putin, tanpa teragak-agak, menjawab pilihannya adalah Biden kerana tindakan pemimpin itu ‘mudah diramal’.
Menurutnya, Biden seorang yang lebih berpengalaman, boleh diramal, dan adalah antara ahli politik veteran yang masih kekal dengan pendekatan lama.
Sambil tersenyum kecil, dia turut memberitahu akan bekerjasama dengan mana-mana presiden AS yang diberi kepercayaan oleh rakyat negara itu untuk memimpin mereka.

Ini adalah kali pertama Putin mengulas secara terbuka mengenai saingan pemilihan presiden AS 2024, yang mana Biden dan Trump dijangka akan berdepan antara satu sama lain untuk kali kedua berturut-turut.
Ketika ini, ketidaktentuan politik sedang memuncak di AS dengan hubungan antara kedua-dua negara itu berada pada tahap paling rendah dalam tempoh lebih daripada 60 tahun.
Bagaimanapun, komen Putin itu dianggap lebih sebagai satu usikan nakal dan bukannya ramalan serius mengenai pemilihan presiden AS.
Putin memberi pendapat mengenai kedua-dua calon itu, malah membincangkan isu sensitif berhubung kecergasan mental Biden, walaupun turut berpandangan, adalah salah untuk beliau campur tangan dalam kempen.
“Apabila saya bertemu dengan Biden di Switzerland tiga tahun lalu, orang ramai berkata, dia tidak bersedia. Saya bagaimanapun tidak melihat sebegitu,” katanya.
Ketika mempertahankan Biden, dia mengimbau episod yang memalukan pemimpin AS itu, apabila kepalanya terhantuk ketika keluar dari helikopter pada Jun tahun lalu.
“Namun, siapa antara kita yang yang tidak pernah terhantuk kepala di mana mana tempat.

“Trump digelar ahli politik bukan sistemik, dia mempunyai pandangan sendiri mengenai agenda bagaimana AS harus membangunkan hubungan dengan sekutunya,” katanya.
Putin memegang jawatan sebagai presiden atau perdana menteri sejak 1999, namun pada usia 71 tahun, dia lebih muda sedekad daripada Biden dan enam tahun berbanding Trump.
Beliau yakin akan memenangi penggal baharu dalam pilihan raya Russia bulan depan, di mana dua calon yang menentang perang di Ukraine telah hilang kelayakan kerana mengemukakan dokumentasi yang tidak sah.
Pada 2020, laporan oleh jawatankuasa perisikan Senat AS mendapati Russia cuba mempengaruhi pilihan raya presiden AS 2016 untuk membantu Trump, yang menewaskan Hillary Clinton. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
