Putin Ikrar Akan Hukum Dalang Serangan Konsert Di Moscow

Members of the Russian Emergencies Ministry clear rubble at the Crocus City Hall concert venue after a deadly attack, outside Moscow, Russia, March 23, 2024. Russian Emergencies Ministry/Handout via REUTERS
MOSCOW, 24 Mac – Pihak berkuasa Russia sudah menahan empat lelaki bersenjata yang disyaki melakukan pembunuhan beramai-ramai di sebuah konsert berhampiran Moscow, Russia.
Sehubungan itu, Presiden Russia, Vladimir Putin, berikrar untuk mengesan dan menghukum kesemua mereka yang mendalangi serangan itu.
Kumpulan pemberontak Daesh, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan pada Jumaat lalu itu tetapi Russia mendakwa turut terdapat bukti bagi mengaitkannya dengan Ukraine, walaupun pegawai Ukraine menafikan pembabitan Kyiv.
Gabenor wilayah Moscow, Andrei Vorobyov, berkata 133 mayat disahkan ditemui dari runtuhan dalam 24 jam, dan doktor sedang berusaha menyelamatkan 107 orang mangsa yang sedang bertarung nyawa akibat kecederaan parah.
Sebelum ini, pengarang TV negeri, Margarita Simonyan, berkata jumlah kematian terkini sudah mencecah 143 orang, tanpa memetik sebarang sumber.

Dalam ucapan di televisyen, Putin berkata 11 orang telah ditahan setakat ini, termasuk empat lelaki bersenjata.
“Mereka cuba bersembunyi dan bergerak ke arah Ukraine, di mana laluan khas telah disediakan untuk mereka menyeberangi sempadan negeri di Ukraine,” katanya.
Perkhidmatan keselamatan Russia (FSB) berkata, lelaki bersenjata itu mempunyai kenalan di Ukraine dan ditangkap berhampiran sempadan. Kesemua mereka kini sedang dibawa ke Moscow.
Bagaimanapun, Putin dan FSB tidak menyatakan mengenai sebarang bukti sama ada kejadian itu ada kaitan dengan Ukraine.
Daesh mempunyai alasan kukuh untuk menyerang Russia, yang pernah campur tangan menentangnya ketika perang saudara Syria pada 2015.
Malah, penganalisis keselamatan berkata dakwaan Daesh bahawa ia melancarkan serangan itu adalah munasabah kerana ia mirip kepada corak serangannya pada masa lalu.

Putin mengubah haluan perang saudara Syria setelah campur tangan pada 2015 dengan menyokong Presiden Bashar al-Assad menentang pembangkang dan Daesh.
Putin menganggap musuh seerangan Jumaat lalu sebagai pengganas antarabangsa dan berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana negara yang mahu menghapuskan mereka.
“Semua pelaku, penganjur dan mereka yang mengarahkan jenayah ini akan dihukum dengan adil. Siapa pun mereka, siapa pun yang membimbing mereka,” katanya.
Satu rakaman menunjukkan lelaki bersenjata berpakaian celoreng melepaskan tembakan dengan senjata automatik di Dewan Bandaraya Crocus dekat Moscow.
Video itu menunjukkan orang ramai yang telah mengambil tempat duduk mereka (untuk menonton persembahan) bergegas ke pintu keluar ketika bunyi tembakan bergema di susuli jeritan.
Penyiasat berkata ada yang mati akibat cedera ditembak dan selebihnya akibat kebakaran besar yang berlaku di kompleks itu.
Laporan berkata lelaki bersenjata itu menyalakan api menggunakan petrol daripada botol yang mereka bawa dalam beg galas.
Orang ramai dilihat melarikan diri dalam keadaan panik dan Baza, sebuah saluran berita yang mempunyai hubungan baik dalam keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang Russia, melaporkan 28 mayat ditemui di dalam tandas dan 14 lagi di atas tangga.
“Banyak mayat ibu ditemui memeluk anak-anak mereka,” katanya.
PM Anwar Kutuk Serangan Di Moscow, Tiada Kaitan Dengan Islam
Ahli Parlimen Russia, Alexander Khinshtein berkata, penyerang melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang dikesan polis di wilayah Bryansk, kira-kira 340km ke barat daya Moscow pada malam Jumaat.
Beliau berkata polis mengejar kereta itu selepas pemandunya ingkar arahan untuk berhenti.
Khinshtein berkata pistol, peluru untuk senapang serangan, dan pasport dari Tajikistan ditemui di dalam kereta itu.
Tajikistan adalah sebuah negara Asia Tengah yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.
Perkhidmatan BBC News Russia memetik sumber yang berkata seorang penyerang terbunuh di dewan konsert, dan seorang lagi di dalam kereta di Bryansk.
BBC berkata ia mempunyai salinan pasport mangsa lelaki itu, yang dikatakan warganegara Tajikistan berusia 30 tahun.
Kremlin berkata Putin telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Belarus, Uzbekistan dan Kazakhstan di mana semua pihak mengesahkan kesediaan mereka untuk bekerjasama memerangi keganasan.
Penduduk Moscow mula berbaris panjang sejak Sabtu untuk menderma darah selepas pegawai kesihatan memaklumkan lebih 120 orang cedera.
Russia mengetatkan keselamatan di lapangan terbang dan hab pengangkutan merentasi ibu negara dan acara awam besar telah dibatalkan di seluruh negara.
Kumpulan Daesh yang pernah mengawal beberapa kawasan di Iraq dan Syria, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, kata agensi Amaq kumpulan itu di Telegram.
Daesh berkata pejuangnya menyerang di pinggir Moscow, membunuh dan mencederakan ratusan dan menyebabkan kemusnahan besar ke tempat sebelum mereka berundur ke pangkalan mereka dengan selamat. Kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut.
Serangan pada hari Jumaat, kira-kira 20km dari Kremlin, berlaku dua minggu selepas Kedutaan AS di Russia memberi amaran bahawa pelampau mempunyai rancangan untuk menyerang di Moscow.
Beberapa jam sebelum amaran kedutaan, FSB berkata ia telah menggagalkan serangan ke atas rumah ibadat Moscow oleh sekutu Daesh di Afghanistan, dikenali sebagai ISIS-Khorasan atau ISIS-K, yang cuba memperluaskan pengaruh di seluruh Afghanistan, Pakistan, Turkmenistan, Tajikistan, Uzbekistan dan Iran.
Kumpulan daesh mendakwa mahu melancarkan serangan di seluruh Asia Barat, Afghanistan, Pakistan, Iran, Eropah, Filipina, dan Sri Lanka. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
