PRU Sabah: Penyertaan Calon PH Mahu Lunas Janji, Kekal Kesinambungan – Nurul Izzah

Nurul Izzah bersama Peto semasa Program Ziarah Kasih Kampung Dambai, Inanam pada 18 November 2025. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 19 Nov – Penyertaan calon-calon Pakatan Harapan (PH) menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17 adalah atas dasar mahu melunaskan janji serta mengekalkan kesinambungan momentum berdasarkan rekod prestasi kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, pendekatan tersebut lebih penting daripada menawarkan pelbagai janji baharu kerana rakyat berhak menilai kemampuan PH melalui tindakan serta hasil kerja yang telah digerakkan.

Nurul Izzah bersama Peto semasa Program Ziarah Kasih Kampung Dambai, Inanam pada 18 November 2025. Foto Bernama

“Penting untuk kita bercakap berdasarkan pencapaian, bukan menawarkan bulan, bintang atau cakerawala, tetapi lebih kepada “concrete realisation,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Tunai Janji di Kampung Dambai, Inanam, bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim, semalam.

Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN, berkata antara bukti prestasi PH adalah tindakan pantas membantu mangsa kebakaran di kampung berkenaan dengan menyediakan tapak kediaman baharu selain menggerakkan usaha mengazetkan Kampung Kionsom sebagai kampung tradisi.

“Langkah yang cepat, tuntas untuk menyediakan tapak kediaman yang telah hangus dan ini bukannya mudah. Saya juga hargai usaha Datuk Peto menggazetkan Kampung Kionsom.

“Ini bukan dilakukan ketika pilihan raya. Penting untuk kita melunaskan janji dan memberi peluang untuk kita bergerak ke fasa seterusnya bagi menunaikan harapan rakyat Sabah, Insya-Allah,” katanya.

Nurul Izzah bersama Peto semasa Program Ziarah Kasih Kampung Dambai, Inanam pada 18 November 2025. Foto Bernama

Dalam pada itu, Nurul Izzah mengajak rakyat meneliti dan membandingkan pencapaian setiap parti yang pernah memerintah Sabah supaya pilihan mereka berasaskan rekod prestasi dan bukannya retorik.

Pada PRN Ke-17, Peto akan berdepan saingan 13 penjuru bagi mempertahankan DUN Inanam yang terletak dalam Parlimen Sepanggar. Pada PRN 2020, Peto yang bertanding atas tiket Warisan Plus – KEADILAN, menang dengan majoriti 5,638 undi.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 membabitkan 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, ditetapkan pada 29 November ini, manakala undi awal pada 25 November ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *