PRU Sabah: Masalah Banjir Tumpuan Utama Calon PH DUN Moyog

Calon Pakatan Harapan N.26 DUN Moyog, Remysta Jimmy Taylor, turun menyantuni para penjaja, peniaga kecil dan warga Moyog yang memenuhi Pasar Tamu Pekan Donggongon, Penampang pada 20 November 2025. Foto Remysta Taylor
PENAMPANG, 20 Nov – Perubahan besar bakal berlaku di Dewan Undangan (DU) Moyog yang seakan diabaikan ahli parlimen terdahulu, malah ahli parlimen sekarang.
Antara perubahan yang akan berlaku termasuk menangani isu banjir yang berlarutan sejak beberapa penggal di kawasan ini yang terus membelenggu penduduk terutamanya di kampung-kampung yang berdepan limpahan air setiap kali hujan lebat dan pembangunan baharu dijalankan.
Bagi Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Moyog, Remysta Jimmy Taylor, melihat masalah itu memerlukan tindakan segera kerana pembangunan pesat tanpa kawal selia jelas memberi tekanan kepada sistem perparitan sedia ada.

Ini ditambah pula dengan lawatan kerja Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang telah turun padang menyelaras isu berkenaan baru-baru iniz
“Isu banjir ini bukan baru, sudah banyak penggal penduduk terjejas. Kerajaan sudah mula jalankan projek tebatan banjir dan ini perlu dipercepatkan supaya kawasan Moyog tidak lagi dilanda banjir setiap kali hujan.
“Kalau menang nanti, perkara pertama saya mahu buat ialah semak semula status projek, semak apa isu sebenar dan kenapa banjir masih berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih yang menyantuni tiga keluarga pesakit di Kampung Kibabaig, Penampang, Sabah.
Mengulas jangka masa penyelesaian masalah berkenaan, Remysta berkata beliau tidak mahu memberi tarikh awal sebelum mendapatkan laporan lengkap, kerana bimbang memberi harapan yang tidak tepat kepada penduduk.
Katanya, faktor pembangunan baharu dan gangguan struktur tanah seperti hakisan turut menjadi penyumbang kepada banjir, justeru penyelesaian memerlukan pendekatan menyeluruh.

Berkenaan Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah, beliau mengakui cabaran besar menantinya di Moyog berikutan pertembungan 12 penjuru, namun yakin peluang kekal cerah berdasarkan rekod sokongan kawasan itu sebelum ini.
“Saya yakin kita masih ada peluang besar di Moyog. Tradisinya kerusi ini pernah dimenangi PH, atau gabungan yang bersama PH. Sokongan itu masih ada,” katanya.
Ditanya mengenai persaingan dengan dua calon popular, Terrence Siambun (Parti Warisan) dan Datuk Donald Mojuntin (Upko), Remysta berkata beliau tidak gentar kerana banyak pengundi kini mahukan muka baharu yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Pengundi sekarang, terutama orang muda, mahu pemimpin baru yang rajin turun kampung. Mereka mahu lihat siapa yang selalu hadir, siapa yang benar-benar buat kerja,” katanya.
Mengenai cabaran Warisan yang menang dengan majoriti lebih 5,000 undi pada PRN 2020, beliau berkata trend sokongan parti itu semakin menurun dan pengundi semakin terbuka menilai calon berdasarkan usaha serta rekod kerja.
“Dulu mereka menang ketika bersama kita. Tapi trend sokongan sekarang sudah berubah dan saya yakin kita berpeluang menang kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, Remysta turut berkongsi sebahagian manifesto khusus untuk Moyog, termasuk tebatan banjir, tuisyen percuma untuk calon SPM, memperkasakan TVET serta program kemahiran untuk anak muda bagi menangani pengangguran.
“Kita tidak mahu anak Moyog ketinggalan. Tuisyen sekarang mahal, RM100 hingga RM200 satu subjek. Kita mahu sediakan tuisyen percuma dan fokus kemahiran seperti kimpalan, automotif, serta kursus TVET supaya anak muda ada peluang masa depan lebih baik,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

