PRU-15 – Rafizi Gesa Calon KEADILAN Optimumkan Masa Kempen

AMPANG, 28 Okt – Calon KEADILAN yang telah diumumkan malam ini perlu mengoptimumkan tempoh dua minggu sepenuhnya untuk berkempen secara besar-besaran menemui pengundi kawasan ditandingi masing-masing.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata pengumuman dibuat awal sebelum hari penamaan calon yang dijadualkan 5 November ini membolehkan semua calon parti itu mempunyai lebih masa untuk berkempen.
“Mulai esok, calon kita semua akan memulakan kempen secara besar-besaran kerana Malaysia memerlukan perubahan kerajaan, jadi memang kita perlu menang untuk ubah kerajaan.
“Malah, saya sebelum ini tidak pernah menyentuh mengenai Anwar, tetapi saya mahu selepas ini kita semua, anak-anak kita tengok beliau di televisyen, beliau adalah Perdana Menteri.

“Saya tabik kepada beliau kerana mempertaruhkan segala-galanya mengambil risiko bertanding di kerusi Tambun kerana beliau boleh saja bertanding di Lembah Klang, menang dan tunggu jadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon-Calon KEADILAN dan Majlis Tandatangan Ikrar Pencalonan yang diumumkan malam ini di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Kosas, Ampang di sini.
Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, calon diingatkan tidak bimbang dengan apa juga perkembangan dan terus bekerja keras kerana itulah resipi sekian lama dipraktikkan KEADILAN.
“PRU15 kali ini tiada beza dengan PRU lain, jadi esok sembilan lagi kita akan adakan sekali taklimat calon,” katanya.
