PRU-15 – Rafizi Gempur Kuala Pilah Malam Ini

KUALA PILAH, 23 Okt – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli dijangka akan menghangatkan malam menjelang sambutan Deepavali apabila turun ke pentas Jelajah Trak Ayuh Malaysia , di sini jam 9 malam ini.
Kehadiran bekas Ahli Parlimen Pandan itu ke kawasan ini dijangka memberi suntikan semangat baharu bagi penyokong Pakatan Harapan (PH) yang terkesan dengan tindakan tanpa moral bekas Ahli Parlimen dari Bersatu, Eddin Syazlee Shith yang bertindak mengkhianati amanah rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Eddin adalah salah satu daripada puluhan ahli parlimen yang menyertai ‘Langkah Sheraton’ menyebabkan PH tumbang pada Februari 2020 dan kali ini Rafizi turun dengan misi menggempur kerusi parlimen yang dikhianati seperti Kuala Pilah.
Difahamkan, jelajah yang bakal berlangsung di Perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Kuala Pilah, di sini akan turut dimeriahkan lagi dengan penampilan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun serta pimpinan PH negeri dan cabang malam ini.
Antara isu yang bakal dibangkitkan malam ini ialah kenaikan harga barang, kurang penyertaan kaum Bumiputera dalam ekonomi, skandal kapal tempur pesisir (LCS) kekurangan kemudahan infrastruktur di kawasan kampung dan pedalaman.
Kuala Pilah merupakan antara tiga kerusi parlimen yang akan ditandingi KEADILAN selain Port Dickson dan Rembau sementara Amanah akan bertanding di Parlimen Jelebu, Jempol dan Tampin.
DAP kekal bertanding di Seremban dan Rasah dalam misi mengekalkan kerusi yang dimenangi pada 2018 lepas, namun peluang cerah dilihat untuk merampas kembali kerusi parlimen ini dari tangan pengkhianat berikutan beberapa isu dalaman melibatkan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Pada PRU-15 kali ini, Kuala Pilah mempunyai lebih 63 ribu pengundi dengan lima bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah dan Johol.
Saksikan siaran langsung malam ini di laman Facebook Rafizi Ramli dan Ayuh Malaysia bermula jam 9 malam ini.
