PRU-15 – PVPNM Terus Perjuang Hak Veteran, Tuntut Kerajaan Tunai Janji

Halim (duduk, tengah) mempengerusikan mesyuarat agung tahunan ke-3 Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM) di Mengkuang Titi, Pulau Pinang, hari ini. Foto: Azlan Yunus
PERMATANG PAUH, 16 Okt – Veteran tentera yang sering diabaikan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN), terus menuntut janji-janji yang telah diumumkan walaupun tidak dinyatakan dalam sebarang perincian pada Bajet 2023 yang kini tidak memberi sebarang makna.
Ini kerana para veteran serta rakyat kini sedar, janji-janji Umno-BN hanya sekadar manis di mulut apabila bertindak bacul membubarkan parlimen kurang seminggu selepas pembentangan bajet pada 7 Oktober lalu.

Menurut Presiden Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM), Dato’ Halim Khomiza, memandangkan tiada manfaat khusus diberikan kepada veteran dalam Bajet 2023, beliau mewakili para veteran menuntut supaya kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menunaikan janji-janji yang telah disebut berulang-ulang kali bagi menjaga kebajikan mereka.
“Saya tidak mahu veteran seolah dipergunakan hanya untuk meraih undi setiap kali pilihan raya menjelang dan selepas pilihan raya, janji tersebut hanya tinggal janji semata-mata.
“Perjuangan membela nasib para veteran terutama soal pencen dan sebagainya akan tetap diteruskan lebih-lebih lagi setelah kerajaan baharu dibentuk tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmi dan mempengerusikan mesyuarat ketiga pertubuhan itu di Mengkuang Titi, dekat sini pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Presiden PVPNM, Mejar (B) Yahya Arif Kamaruzaman; Naib Presiden (Utara), Kapten (B) Mustafa Ahmad; Naib Presiden (Selatan), Roslan Seliman; Setiausaha Agung, Othman Md Isa dan Bendahari, Mohd Radzi Wahab.
Tambahnya, selain isu pencen, para veteran yang sekian lama tidak memperolehi tanah untuk tujuan meningkatkan ekonomi mereka, juga akan diusulkan kepada menteri pertahanan dengan beberapa pengubahsuaian.
Antaranya, lot-lot tanah bagi tujuan komersil seharusnya dianugerahkan di setiap negeri bagi menjana aktiviti ekonomi bagi kepentingan ahli yang telah mencurahkan bakti kepada negara.
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan para veteran kepada kerajaan oleh kerana aktiviti ekonomi seperti pertanian dan penternakan telah mampu menjana dan membantu kembali para anggota dan boleh bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah dengan usul-usul yang dikemukakan termasuk bantuan segera kepada ahli pertubuhan yang sakit, kehilangan punca pendapatan dan sebagainya, saya yakin pertubuhan ini akan terus mendepani perjuangan para veteran di seluruh negara,” ujarnya.
Pada mesyuarat itu juga, ahli-ahli yang hadir sebulat suara mengekalkan Halim sebagai presiden bersama-sama jawatankuasa baharu yang dilantik bagi sesi ini.
Menurut rekod, sehingga kini lebih 700 anggota tentera veteran memganggotai pertubuhan itu dengan penglibatan hampir semua wakil dari seluruh Semenanjung hadir pada mesyuarat agung berkenaan.
