PRU-15 – Patuhi Tatacara Saringan Dan Pemilihan Calon KEADILAN!

PENDAPAT, 14 Okt – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Wangsa Maju menyambut baik inisiatif terkini Sdr Rafizi Ramli selaku Pengarah Pilihan Raya parti bagi menghadapi PRU-15 dengan memperkenalkan permohonan menjadi calon menerusi laman web sehingga 13 Oktober lalu.

Inovasi sebegini membuktikan KEADILAN adalah sebuah parti yang berwawasan tinggi yang bergerak mengikut peredaran zaman dengan mengumumkan secara terbuka sistem pemarkahan dan prosedur pemilihan calon selain mengaplikasikan penggunaan teknologi internet secara maksimum.

Pendekatan ini mendapat pujian rakyat Malaysia sebagai langkah bijak untuk mengenal pasti calon terbaik di samping menggalakkan ketelusan dan keterbukaan kepada semua lapisan masyarakat, sekaligus menutup ruang serta menghakis budaya ‘membodek’ dan ‘mengampu’ dengan tujuan melobi kerusi untuk bertanding.

Selain daripada pengenalan tatacara pemilihan, pembentukan aplikasi CISTA juga memberi motivasi kepada pemimpin di semua peringkat untuk merancang dan melaksanakan gerak kerja parti dengan kemas dan teratur.

KEADILAN akan terus merealisasikan pembaharuan yang radikal dan membawa agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini.

Pembubaran Parlimen pada musim tengkujuh hanya mendedahkan wajah sebenar BN yang mengutamakan kuasa daripada keselamatan rakyat dan negara. Oleh Itu saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar keluar mengundi dan tidak memboikot pilihan raya ke-15 kali ini.


Tidak boleh dinafikan pengundi mempunyai hak untuk tidak mengundi, tetapi kesannya kali ini sangat besar. Pilihan raya kali adalah pertembungan di antara Rakyat Malaysia Dan Barisan Nasional (BN), bukan Pakatan Harapan (PH) semata-mata.

Maka PH yang mendokong aspirasi rakyat melawan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan harus diangkat mentadbir negara ini bagi tempoh lima tahun akan datang.

Saya juga ingin menegaskan kepada semua ‘Hantu-Hantu Politik’ untuk menghormati perlembagaan parti dengan tidak membuat sebarang rundingan kerusi dari pintu belakang.

Nasihat ini ditujukan kepada pemimpin di semua peringkat, ianya bukan sahaja mencemarkan imej parti, malah perbuatan sebegitu adalah sebuah penghinaan terhadap demokrasi.

Kami dari KEADILAN Wangsa Maju komited sepenuhnya untuk memenangkan KeAdilan di Wangsa Maju sekali lagi dan semangat yang sama harus memenangkan Pakatan Harapan sebagai kerajaan persekutuan sekaligus menobatkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Vijeyndran Ravichadran
Ketua Penerangan KEADILAN Wangsa Maju

Pejabat Penerangan KEADILAN Cabang Wangsa Maju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *