PRU-15 – 80 Peratus Calon Di Perlis Selesai Dimuktamad

KANGAR, 22 Okt – Penentuan senarai calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang akan bertanding di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November depan kini telah memasuki 80 peratus dimuktamadkan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Negeri Perlis, Nurul Izzah Anwar berkata, ia dinilai jawatankuasa yang melihat pemilihan calon parti itu berdasarkan maklumat diberikan di peringkat negeri dan cabang terutama dalam menghadapi persaingan yang dijangka sengit pada kali ini.
“Kita kena gandingkan juga muka baru terutama bakat sedia ada yang sudah bekerja keras kerana semua ini menjadi indikator kepada pemilihan calon yang akhir dan Insya-Allah, kita harapkan yang terbaik apabila pengumuman dibuat pada 28 Oktober di Ampang itu nanti.
“Dalam masa yang sama juga, ia bukanlah soal tersenarai atau tidak tetapi nama (calon) yang kita nampak ini adalah terbaik untuk merangkumi semua pihak yang diwakili nanti,” katanya selepas melakukan tinjauan Projek Baik Pulih Rumah Golongan B40/eKasih Bukan Peruntukan Kerajaan di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Kayang dan Kuala Perlis, di sini hari ini.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN turut mengulas soal calon Menteri Besar dari Pakatan Harapan (PH) di Perlis dan sama ada beliau akan terus mempertahankan kerusinya di Parlimen Permatang Pauh.
“Berkaitan calon menteri besar, kita akan berbincang di peringkat PH di mana selalunya (pelantikan itu) dilihat selepas keputusan (PRU-15), walaupun kita ada bayangannya.
“(Soal bertanding di Parlimen Permatang Pauh), saya masih tidak mengetahui kerusi mana yang bakal ditandingi dalam PRU-15 ini dan hanya menyerahkan perkara ini kepada kepimpinan pusat.
“Apa pun, saya hanya askar maka kita serahkan (perkara berkaitan kerusi) kepada pucuk pimpinan untuk menentukan,” katanya.
