Projek Pelebaran Lebuhraya PLUS Disambung Sehingga Ke Ayer Hitam

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menghadiri mesyuarat bersama di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal

ISKANDAR PUTERI, 31 Mac – Kerajaan bersetuju melanjutkan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang sebelum ini berakhir di Simpang Renggam, diteruskan sehingga ke Ayer Hitam.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pertambahan 17 kilometer lagi projek pelebaran Lebuhraya PLUS itu dibuat berikutan peruntukan RM931 juta yang diberikan kerajaan mencukupi sehingga ke lokasi baharu berkenaan.

Beliau berkata, JKR ketika ini sedang melaksanakan Kajian Nilai (Value Assessment-VA) supaya projek pelebaran Lebuhraya PLUS terbabit tidak hanya berakhir di Simpang Renggam.

“Sebelum ini sudah diumumkan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam membabitkan peruntukan RM525 juta iaitu sejauh 21 kilometer (km) antara Senai Utara ke Sedenak.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menghadiri mesyuarat bersama di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal

“Namun, dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak sehingga ke Simpang Renggam, dengan peruntukan RM931 juta.

“Hari ini saya ingin memaklumkan dengan peruntukan sama RM931 juta, projek pelebaran Lebuhraya PLUS antara Sedenak bukan berakhir di Simpang Renggam sahaja, tetapi ia akan diteruskam sehingga ke Ayer Hitam membabitkan pertambahan 17km lagi.

“Pertambahan 17km lagi dibuat selepas penilaian awal mendapati peruntukan RM931 juta mencukupi sehingga pelebaran di Ayer Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKR Johor, Abu Bakar Abd Aziz.

Pada 12 Oktober lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 dilaporkan berkata, projek pelebaran Lebuhraya PLUS membabitkan kawasan Johor itu akan dibangunkan dengan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

Setakat ini, laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka.

Ia bermakna hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong, menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu puncak musim perayaan dan cuti persekolahan selain sering dilaporkan berlaku kemalangan maut.

Pada 18 Februari lalu, projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam lorong membabitkan Senai Utara ke Sedenak, dilaporkan akan dimulakan Jun ini.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad, dilaporkan berkata projek pelebaran Fasa Satu itu membabitkan jarak 21.8km dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *