Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Sembilan Buka Tirai Hari Ini

Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Sembilan padat dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan bagi rakyat untuk mengetahui pencapaian semasa Kerajaan MADANI terus kepada mereka. Foto PACU, ICU JPM

SEREMBAN, 22 Ogos – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 edisi Negeri Sembilan membuka tirainya hari ini bertempat di Dataran Nilai sarat dengan pelbagai pengisian menarik bertemakan pendigitalan, dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi kerajaan.

Bertepatan dengan tema yang dipilih iaitu “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti”, PMR Negeri Sembilan diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah.

Program selama tiga hari ini memberi ruang kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat selain mempamerkan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan digital yang ditawarkan.

Antara agensi mengambil bahagian termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menampilkan inovasi digital tempatan serta mempromosikan peluang dalam ekonomi digital, CyberSecurity Malaysia (CSM) yang menekankan aspek kesedaran mengenai isu keselamatan siber dan ancaman penipuan dalam talian.

Jabatan Digital Negara (JDN) pula memperkenalkan dasar dan inisiatif digital negara manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menekankan kepentingan melindungi data peribadi dalam era digital.

Sepanjang program, pelbagai inisiatif mesra rakyat turut disediakan antaranya Digital Career Fair yang menawarkan lebih 500 kekosongan jawatan, program penukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jualan Rahmah MADANI dengan potongan harga hingga 30 peratus.

 

Turut ditawarkan perkhidmatan pertukaran minyak hitam motosikal dan gunting rambut secara percuma serta pelbagai pilihan hidangan menarik di gerai ‘Selera Nogori’.

Pengunjung juga berpeluang menikmati tayangan percuma filem Ejen Ali: The Movie di pentas utama pada Sabtu, kehadiran maskot popular seperti Upin & Ipin dan Boboiboy, cabutan bertuah dengan hadiah menarik, serta pelbagai perkhidmatan bergerak termasuk klinik pergigian, Wellness on Wheels, Cafe Teen dan perkhidmatan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Kesemua inisiatif ini bertujuan memperkasakan masyarakat dengan ilmu, kemahiran dan peluang baharu dalam dunia digital, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Kemuncak program dijadual berlangsung pada Sabtu dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan PMR Negeri Sembilan sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda digital negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *