Program Celik Kewangan Belia MADANI Inisiatif Galak Belia Mengurus Kewangan Dengan Bijak – Abul Jais

Pemimpin KEADILAN Perak Abul Jais Ashfaq Ahmed yang berharap inisiatif itu juga merupakan satu langkah amat penting ke arah meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia di Malaysia.
LUMUT, 23 Ogos – Program Celik Kewangan Belia MADANI yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan menjadi pemangkin bagi pengurusan kewangan yang lebih bijak khusus buat kalangan generasi muda.
Demikian dinyatakan pemimpin KEADILAN Perak Abul Jais Ashfaq Ahmed yang berharap inisiatif itu juga merupakan satu langkah amat penting ke arah meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia di Malaysia.
“KEADILAN Perak menyambut baik pengenalan inisiatif Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI yang telah diumumkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena penjenamaan semula Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Saya yakin pelaburan permulaan RM50 yang diberikan kepada setiap pelajar hasil kerjasama antara Kerajaan Malaysia, PNB, dan syarikat korporat ini bukan sahaja akan memupuk tabiat menabung dalam kalangan belia, tetapi juga akan menjadi pemangkin untuk pengurusan kewangan yang lebih bijak dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Tambah beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Beruas, ia sekali gus memastikan golongan belia mampu mengurus kewangan serta menjadi motivasi kepada meningkatkan kepentingan menyimpan bagi kegunaan masa depan.
Perdana Menteri pada Khamis mengumumkan pemberian dana awal RM50 juta kepada sejuta penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program Celik Kewangan Belia MADANI.

Mengulas lanjut beliau berkata ia juga sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI memperkasakan golongan muda dengan ilmu dan kemahiran kewangan asas agar mereka dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan termaklum pada masa hadapan.
“Dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan, saya optimis dengan matlamat untuk membangunkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia akan dapat dicapai dengan lebih efektif,” katanya.
Abul Jais turut menyeru semua pelajar mengambil peluang keemasan ini kerana ia memberikan nilai pelaburan permulaan dan membuka ruang untuk membina masa depan kewangan yang lebih kukuh.
“Saya juga berharap agar semua pihak yang terlibat termasuk institusi pengajian tinggi dan institusi pengajian vokasional akan terus bekerjasama untuk menjayakan inisiatif ini.
“Sesungguhnya pengenalan inisiatif itu akan menjadi asas kepada pembinaan generasi muda yang lebih berdaya saing, celik kewangan, dan bersedia menghadapi cabaran kewangan di masa hadapan,” ujarnya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
