PRN 2023: SPR Terima Watikah Pembubaran DUN Negeri Sembilan

SPR telah terima watikah pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada PRN ke-15 sekitar Ogos ini. Foto Bernama
SEREMBAN, 29 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, semalam.
Pengarah SPR negeri, Mohd Heikal Kamarudin, berkata watikah itu diserahkan Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd Amin Ludin di pejabat SPR negeri di sini.
“Setiausaha DUN Negeri Sembilan hadir ke pejabat saya semalam dan menyerahkan dokumen proklamasi pembubaran DUN,” katanya hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, semalam, mengumumkan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan pada Sabtu ini selaras dengan perkenan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi (DAP-11, KEADILAN-6, AMANAH-3) dan diikuti Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-1)
