PRN 2023: Sampai Bila Fitnah Terhadap Kerajaan Dibiar Berleluasa?

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut tidak terlepas dari terkena fitnah atas tajuk berita yang ditokok tambah hingga memaksa beliau memaklumkan di Facebook. Foto Facebook Fahmi Fadzil.
SEREMBAN, 25 Jun – Fitnah berleluasa lagi.
Kali ini mangsanya ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menafikan mengeluarkan sebarang bentuk surat bertajuk ‘Kerahan Pelajar Untuk Menghadiri Temu Anwar @ Negeri Sembilan’.
Ini bukan kali pertama fitnah oleh pihak pembangkang dilakukan malah seakan menjadi ‘kelaziman’ sama ada menyiarkan pekeliling palsu menggunakan kepala surat institusi atau meminda kenyataan asal dan menyebarkannya di platform media sosial.
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM, hari ini, universiti berkenaan menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk surat seperti ditularkan.
“Pihak universiti tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk surat seperti yang ditularkan dan ia adalah palsu.

“Satu laporan polis telah dibuat dan pelaporan kepada aplikasi media sosial di atas pelanggaran peraturan dan syarat perkhidmatan terhadap akaun berkaitan telah dilakukan.
“Pihak universiti amat kesal di atas penghasilan dan penularan surat dan maklumat yang tidak berasas ini,” kata kenyataan berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira dua jam dalam program `Temu Anwar Negeri Sembilan’ di Dewan Tunku Canselor, USIM, Nilai yang dihadiri lebih 3,000 pelajar universiti, politeknik dan sekolah menengah sekitar negeri ini.
Tidak lama kemudian, tular surat palsu itu kononnya para mahasiswa ‘dikerah’ untuk hadir ke program berkenaan seperti mana yang terjadi pada program serupa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok hujung minggu lalu.
Para pemfitnah seakan tidak serik mengulangi perbuatan mereka seolah mereka tidak takut dikenakan tindakan undang-undang jauh sekali berfikir tentang dosa yang ditanggung akibat fitnah yang disebarkan.
Sudah sampai masanya pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak lebih tegas dalam menangani penyebaran fitnah di media sosial yang seakan tiada penghujung lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sekitar Ogos nanti.
Bukan sedikit tangkapan dan pendakwaan dilakukan namun pihak tidak bertanggungjawab terus melakukan perbuatan keji itu tanpa rasa bersalah dan memadam kandungan fitnah itu setelah dikesan tular beberapa ketika selepas itu.
Rakyat jangan lagi dibiarkan menerima ‘racun maklumat’ berunsur fitnah bagi menjaga ketenteraman dan keharmonian di negara ini.
