PRN 2023: Keputusan Pemuda PH, BN Sokong Ketua Menteri Bukti Kerjasama Kukuh

Lee Wei Seang bersama Mohd Hilmi ketika sidang media selepas Majlis Hi Tea Pemuda Perpaduan Pulau Pinang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Hotel Aroma di Butterworth. Foto Facebook.
BUTTERWORTH, 26 Jun – Keputusan gabungan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menyokong Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow memimpin negeri itu bagi penggal kedua apabila berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti disifatkan banyak membantu pengukuhan kerjasama di negeri itu.
Ini berikutan Chow dijangka akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Menurut Ketua Pemuda PH negeri, Lee Wei Seang, kedua-dua sayap pemuda mendokong penuh kepimpinan Chow terus mengetuai kerajaan negeri berdasarkan rekod dan pencapaian yang ditunjukkan.
“Kami (Pemuda PH dan BN) ingin memberi sokongan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow supaya dapat memimpin Pulau Pinang untuk penggal kedua selepas PRN.
“Pada masa sama, kami juga menyeru supaya pemuda pemudi Pulau Pinang yang tinggal di negeri lain dapat balik untuk mengundi nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hi Tea Pemuda Perpaduan Pulau Pinang sempena PRN di Hotel Aroma, di sini, pada Ahad.

Dengan serangan Perikatan Nasional (PN) dilihat longgar akibat tiada keputusan siapa yang akan menjadi calon ketua menteri, ia merupakan bonus kepada kerajaan perpaduan di negeri itu berhadapan dengan PRN sekitar Ogos nanti.
Berdasarkan pengamatan dan kenyataan sorang pemimpin PN yang seakan kecewa apabila Khairy Jamaluddin atau KJ masih lagi ‘tutup mulut’, ini bermakna kerajaan perpaduan hanya memastikan kesepaduan jentera direalisasikan di peringkat akar umbi bagi mempertahankan kesemua kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Pun begitu, pasukan komunikasi negeri diharap lebih giat menyebarkan maklumat pencapaian kerajaan negeri terutama di kawasan majoriti Melayu yang sedikit terkesan pada PRU15.
