PRN 2023: ‘Gelombang Hijau’ PN Di Pulau Pinang Hambar?

Suasana hambar dilihat semasa ceramah Perikatan Nasional (PN) yang diadakan Dataran Jalan Guar Kepayang, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi. Foto Arkib.
PENDAPAT, 24 Jun – Himpunan PN BEST yang telah diadakan di Dataran Jalan Guar Kepayang semalam kelihatannya sangat begitu hambar malah bilangan para penyokong mereka yang hadir didapati agak susut kerana tidak sampai mencecah angka 200 orang malah jauh sekali apa yang diistilah sebagai ‘gelombang hijau’, ternyata fantasi semata berbanding suasana ketika memulakan kempen pada PRU ke-15 November tahun lalu.
Tinjauan kami juga tertumpu pada ucapan beberapa pemimpin Pas yang turut dihadiri tetamu khas iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden Pas yang dilihat agak kekeringan modal politik sebaliknya ucapan-ucapan mereka berkisar tidak lain tidak bukan cuma memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya meminggirkan orang Melayu.
Ironinya kalau tidak melakukan fitnah seharian itu bukanlah pemimpin Pas namanya yang sekarang ini kerjanya siang malam terus menerus membohongi rakyat dengan dakwaan-dakwaan yang sengaja direka untuk menarik perhatian para penyokongnya.
Temubual kami terarah kepada seorang individu yang meminta namanya dirahsiakan tetapi difahamkan beliau menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerja kepada Ketua Penerangan KEADILAN negeri Pulau Pinang, hadir atas tujuan untuk mendengar pemimpin pembangkang berucap.
Menurutnya, beliau seolah menyindir dengan nada sinis bahawa PN usahlah berangan-angan tinggi untuk mengambil alih daripada Pakatan Harapan (PH) menjadi pemerintah kerajaan baharu di Pulau Pinang dan pandangan agak skeptikal dengan keupayaan pemimpin PN yang lebih ‘banyak mulut’ daripada membuat kerja.

Buktinya lihatlah sendiri sikap Menteri Besar Kedah yang saban hari mulutnya tidak boleh duduk diam berpolitiking mencerca orang 24 jam sehari serta tidak habis-habis terus menghasut rakyat dengan memainkan sentimen orang Melayu berbanding menjaga urusan pentadbiran kerajaan negeri Kedah.
Rakyat di Pulau Pinang lebih tahu siapakah pemimpin parti PN lebih-lebih lagi parti Gerakan yang mempunyai rekod sangat buruk semasa memerintah negeri ini tidak lama dahulu berbanding PH sebaik mengambil alih sejak 2008 yang begitu komited menjaga hal ehwal terkait kepentingan orang Melayu dan kebajikan rakyat Pulau Pinang malah syiar Islam di negeri ini subur dan terus terpelihara.
Buktinya banyak peruntukan disalurkan kepada urusan hal ehwal Islam termasuk menyokong penuh usaha pentadbiran Hal Ehwal Islam negeri seperti Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Islam 10 tahun Pulau Pinang ke arah melahirkan ‘Khaira Ummah’ khususnya masyarakat orang Melayu di Pulau Pinang.
Oleh hal demikian, ianya menjadi teras dan kepercayaan malah semakin diterima baik oleh rakyat negeri ini yang membolehkan Kerajaan PH diyakini akan dapat terus bertahan memerintah negeri ini memasuki penggal keempat dengan rekod cemerlang dan terbukti membawa perubahan positif sejak 2008.
Jadi tiada sebab dan alasan mengapa rakyat negeri ini ingin menukar kerajaan kepada PN malahan sentimen agama dan kaum yang cuba dimomok-momokkan oleh pemimpin pembangkang dilakukan atas matlamat untuk menakut-nakutkan rakyat dengan harapan supaya PN dapat mengambil alih kerajaan negeri daripada PH.
Jelas sekali rakyat di Pulau Pinang semakin cerdik dalam membuat penilaian tidak seperti majoriti rakyat di negeri Kelantan yang lebih rela meminum air ‘teh pekat’ malah mentaliti kebanyakan rakyat Kelantan sudah dipasak otak mereka agar menyokong Pas yang kononnya lebih Islamik berbanding parti politik lain.

Sebaliknya mereka tidak menghiraukan sekalipun reputasi PN yang dahulunya dikenali PN BEST sekarang ini telah terjejas teruk malah imej atau identiti mereka semakin tercalar berikutan rentetan beberapa pemimpin kanan parti itu dikaitkan dengan kes-kes jenayah sakau seperti skandal Jana Wibawa yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Bagi mereka asal sahaja yang tidak melibatkan pemimpin Pas dikaitkan dengan kes mahkamah dikira ‘OK’, begitulah mentaliti pemikiran penyokong tegar mereka walaupun yang menyakau itu orang Melayu yang mengaku beragama Islam.
Cuma kami hendak tahu juga setakat manakah ‘gelombang hijau’ dijaja merata ke seluruh Pulau Pinang jikalau orang ramai yang hadir pada malam perhimpunan PN BEST inipun dilihat tidak sampai mencecah bilangan tiga ratus apatah lagi untuk sampai ke bilangan melebihi ribuan orang yang hadir.
Ini merupakan petanda jelas mereka yang non-partisan sudah tidak memihak lagi untuk menyokong PN yang lebih banyak beretorik daripada melaksanakan amanah yang telah diberikan di negeri yang mereka kuasai sekarang.
Mereka juga dilihat semakin sedar akan permainan 3R (Race, Religion, Royal) PN yang hanya menggugat kestabilan dan keamanan negara tanpa memberi penyelesaian tuntas bagaimana mahu memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
Sekian.
– Cucu Tok Janggut
