PRK Nenggiri: Pertembungan Satu Lawan Satu BN Dan Pas, Siapa Akan Menang?

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (tengah) tiba di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri yang bertempat di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang hari ini. Foto Facebook Umno Online

GUA MUSANG, 3 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membuka tirainya hari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Kedua-dua mereka diumum sebagai calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud, selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (tengah) tiba di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri yang bertempat di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang hari ini. Foto Bernama

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Penganalisis melihat BN berpeluang cerah merampas kembali kerusi itu dengan majoriti tipis berdasarkan sentimen semasa dan faktor calon yang disenangi penduduk tempatan.

Faktor lain yang boleh menjadi kekuatan Mohd Azmawi Fikri adalah sokongan bekas Ahli Parlimen Gua Musang sendiri Tengku Razaleigh Hamzah yang menguasai kawasan itu selama 11 penggal berturut-turut.

Walaupun Mohd Rizwadi diletakkan PN namun tidak nampak prestasinya sepanjang berada di kawasan itu selain hanya menyertai Bersatu beberapa hari sebelum namanya diumumkan.

Ia boleh dianggap ‘calon Pas’ walaupun bertanding atas tiket Bersatu kerana masih menggunakan simbol bulan dan bukannya logo PN sendiri.

Pastinya pertembungan menarik ini akan disaksikan bermula hari ini sehingga kempen tamat pada 16 Ogos nanti.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *