PRK Mahkota: Seluruh Jentera Parti Kerajaan Perpaduan Digerakkan

Dr Asyraf Wajdi memberitahu sesuatu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Rundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan bilangan 3/2024 di Putrajaya pada Selasa. Foto Facebook Dr Asyraf Wajdi
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Seluruh jentera parti komponen dalam kerajaan perpaduan akan digerakkan sepenuhnya pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor bagi memenangi hati serta sokongan pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu, ditetapkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia, semalam.
“Mesyuarat menyokong penuh calon BN di PRK DUN Mahkota mewakili kerajaan perpaduan yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf Wajdi berkata mesyuarat itu turut memperakui struktur jentera kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRK tersebut.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai pengarah PRK dan pengerusi PH negeri itu, Aminolhuda Hassan sebagai penyelaras jentera PH.
“Mesyuarat turut memandang serius isu 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan raja-raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Mesyuarat turut menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook berkata dia turut menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wee berkata mesyuarat itu turut dihadiri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta semua pimpinan parti yang mendukung kerajaan perpaduan.
“Pelbagai isu berkaitan dengan kepentingan negara dan kebajikan rakyat telah dibincangkan dan perdana menteri telah pun menyampaikan pelbagai input penting kepada hadirin agar agenda pembangunan negara diteruskan dengan baik,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

