PRK Mahkota: Calon BN Akan Diketahui Petang Ini

Mohamed Khaled berada di Kluang, Johor bagi tujuan lawatan kebajikan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Mahkota dan Kem Batu 3 dengan diiringi Jen. Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Darat. Foto Facebook Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 26 Ogos – Teka-teki berkenaan siapa calon Barisan Nasional (BN) yang akan diturunkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota September depan, akan diketahui lewat petang ini.

Bagaimanapun, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perkara itu perlu dibincangkan dan sebarang keputusan hanya akan diumumkan oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita ada mesyuarat hari ini dengan UMNO Johor… Presiden (Ahmad Zahid) akan hadir.

“Soal calon tu, kena tanya presidenlah…itu tunggu hasil mesyuarat,” katanya kepada pemberita setelah menyempurnakan lawatan ke Tapak Projek Pemindahan Ilmu (KTP), Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini pada Isnin.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim.

Untuk rekod, kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang berkata, UMNO bertekad untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota.

Justeru menurut Mohamed Khaled, bagi mencapai misi itu, seluruh jentera UMNO perlu bekerja keras bagi memastikan kerusi itu tidak dirampas calon parti lain.

“Insya-ALLAH, bila masuk bertanding, mestilah kita nak menang. Saya tak nak buat jangkaan (peluang menang), tapi kita akan kerja keras,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *