PRK KKB: Kerajaan Perpaduan Tolak Dakwaan C4 Centre – Shamsul Iskandar

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Durian Tunggal, Aminah Ahmad, hari ini sambil disaksikan ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil (kanan). Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

ALOR GAJAH, 22 Apr – Kerajaan Perpaduan menolak dakwaan pengumuman peruntukan RM5.21 juta bagi projek di Hulu Selangor sebagai bukti amalan penggunaan jentera dan dana kerajaan berlaku menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengumuman itu dibuat sebelum tarikh penamaan calon.

Namun, katanya, kerajaan sentiasa menghormati pandangan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).

“Bagi pihak kita (kerajaan), kita hormati pandangan itu. Cuma, kita pun sedia maklum pilihan raya ini secara rasminya berlaku apabila bermulanya penamaan calon.

“Dan sudah pastilah bila selepas penamaan calon, kalau itu (pengumuman peruntukan) nak dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya, mungkin ada asasnya.

“Kalau sebelum tarikh pengumuman calon secara rasmi kita tidak boleh laksanakan sebarang program di kawasan terbabit, itu satu perkara pada saya tidak munasabah.

.”..sudah pastilah KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) punya perancangan. Kadang-kadang ada program-program yang diberikan keutamaan oleh mana-mana kementerian pada hemat kita, dan itulah amalan sejak Datuk Seri Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) memimpin negara ini,” katanya.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Durian Tunggal, Aminah Ahmad, hari ini sambil disaksikan ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil (kanan). Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kecemasan perdana menteri kepada mangsa banjir di sini membabitkan 13 keluarga.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Melaka, Megat Azlani Megat Ramli dan Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin.

Shamsul Iskandar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan C4 Centre yang mempersoal kewajaran serta pemilihan waktu oleh kerajaan untuk mengumumkan peruntukan berkenaan yang disifatkan sebagai kempen tidak beretika dan boleh memudaratkan proses demokrasi negara.

C4 Centre menegaskan pengumuman itu termasuk khusus untuk Kuala Kubu Baharu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, jelas menunjukkan amalan lama berkaitan penggunaan tidak wajar jentera dan dana kerajaan untuk menyokong calon pilihan raya yang mewakili parti pemerintah atau parti gabungannya masih berterusan selepas turut berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu sebelum ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, beliau percaya kementerian dan agensi kerajaan hanya menjalankan tugas dan tidak diperguna untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Kita lihat selepas sahaja penamaan calon tidak ada lagi agensi-agensi kerajaan diperturunkan untuk membantu kempen dan sebagainya.

“Itu pada saya disiplin yang sangat baik yang kita tunjukkan kepada mana-mana pimpinan terutama di peringkat negeri bahawa kita ada satu disiplin tidak menyalahgunakan jentera kerajaan bagi tujuan kempen, apatah lagi dalam pilihan raya kecil seperti ini.

“Saya percaya beberapa kementerian itu dan agensi-agensi mereka bekerja, kalau ada program-program keutamaan mereka buat sebelum daripada penamaan calon kerana saya rasa penamaan calon itulah bermulanya secara rasmi kempen pilihan raya,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang juga PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei ini manakala Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *