PRK Kinabatangan, Lamag: SPR Adakan Mesyuarat Khas 16 Disember

SPR berkata, kekosongan luar jangka itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari selaras Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah.

PUTRAJAYA, 9 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kekosongan luar jangka itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari selaras Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 (Selasa),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun, termasuk bagi menetapkan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon dan Hari Pengundian, sebelum satu sidang media diadakan sejurus mesyuarat berakhir.

Terdahulu, pemakluman berkenaan telah diterima masing-masing daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 8 Disember dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada YB Tan Sri Johari Abdul, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025 dan YB Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2025, berhubung dengan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah berikutan kematian penyandangnya Allahyarham YB Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR,” katanya.

Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Kota Kinabalu, Sabah Jumaat lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *