PRIME Ubah Persepsi Rakyat Dari Aspek Persediaan Menghadapi Bencana

Kehadiran PRIME yang diluncur Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merupakan ‘buah tangan’ terbaharu yang jelas amat membantu komunikasi lapangan ketika berlaku sesebuah bencana di negara ini.

PENDAPAT, 17 Jun – Kelahiran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) hasil inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan tujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan berdepan bencana dan kecemasan di tempat awam, sama pentingnya dengan peranan beberapa badan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Adalah penting bagi operasi pasukan penyelamat mendapatkan akses komunikasi secara langsung di lokasi bencana bagi memudahkan sebarang bentuk laporan, bantuan serta atur gerak pasukan setiap kali musibah berlaku seperti tanah runtuh, kemalangan di laut atau banjir di sesebuah negeri.

Memanfaatkan PRIME sebagai pusat sehenti mengurus komunikasi dan maklumat di lapangan amat penting bagi membantu usaha pasukan operasi bencana menyalurkan perkembangan terkini.

PRIME mampu menjadi barisan hadapan pengurusan maklumat dan data kejadian secara masa nyata bagi mengenal pasti lokasi terjejas, kadar kerosakan serta keperluan mendesak mangsa bencana.

Sistem pintar ini memudahkan agensi penyelamat membuat keputusan pantas dan berkesan berdasarkan maklumat yang tepat dan terkini.

Komunikasi antara pelbagai agensi juga dapat diselaraskan dengan lebih lancar sekali gus mengelakkan pertindihan operasi dan meningkatkan respon kecekapan tindak balas bagi sesuatu bencana tidak kira masa dan di mana sahaja.

Majlis Perasmian PRIME disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pastinya mencerminkan keperluan mengurus komunikasi penting dalam sesuatu bencana.

Ia juga selaras dengan kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang meluncurkan PRIME, ia merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh MCMC serta pasukan penyelamat.

Paling menarik, PRIME berupaya menggabungkan pelbagai teknologi komunikasi terkini seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron dalam satu unit bergerak serta berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi boleh dipercayai mengikut keperluan operasi di lokasi mencabar.

“Ini merupakan usaha pihak MCMC untuk membantu agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi memastikan di kawasan operasi bencana, aspek komunikasi dapat terus kita uruskan dengan baik.

Sudah pasti PRIME akan menjadi satu lagi inisiatif berkesan membantu agensi pengurusan bencana mengkoordinasi maklumat dan komunikasi di lapangan apabila ia beroperasi.

“Kita harap PRIME dapat membantu urusan penyediaan saluran komunikasi terutama bagi pasukan-pasukan petugas,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PRIME di sini pada Isnin.

Sudah pasti penegasan Fahmi yang melihat peranan PRIME dalam pengurusan bencana dan kecemasan, ia juga akan dimanfaatkan bagi menyokong program keterangkuman komuniti termasuklah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berfungsi sebagai hab digital kepada komuniti setempat.

Difahamkan sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini dengan unit pertama yang telah memulakan operasi kini ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC dan berperanan menyokong pelaksanaan operasi di Semenanjung Malaysia.

Manakala dua lagi dijangka ditugaskan di Sabah dan Sarawak yang kondisinya lebih mencabar dari segi faktor geografi dan kualiti liputan menggunakan menara telekomunikasi sedia ada.

Glosari – PRIME: Mobile Integrated Radio and Internet Communication System

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *