Presiden Guinea-Bissau Terima Sambutan Rasmi Sempena Lawatan Ke Malaysia

Presiden Embaló memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) pada 4 Jun 2025. Foto Astro Awani

PUTRAJAYA, 4 Jun – Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embaló menerima sambutan rasmi sempena lawatannya ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Ketibaan Presiden Embaló di bangunan kerajaan itu pada jam 9.00 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, lagi kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai simbol penghormatan rasmi sebelum Presiden Embaló memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat).

Lawatan sulung Presiden Guinea-Bissau ke Malaysia membuka lembaran baharu hubungan dengan Malaysia. Foto Wisma Putra

Presiden Embaló kemudian diperkenalkan dengan barisan jemaah menteri Malaysia diikuti delegasi negara Guinea-Bissau yang kali pertama melawat negara ini.

Sesudah upacara sambutan negara diadakan, Presiden Embaló dan Perdana Menteri meneruskan pertemuan rasmi menerusi mesyuarat dua hala yang turut disertai delegasi dari kedua-dua negara.

Lawatan itu merupakan kunjungan sulung Presiden Embaló ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Guinea-Bissau pada Februari 2020.

Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embaló diiringi Johari Abdul Ghani selaku menteri pengiring semasa ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 3 Jun 2025. Foto Wisma Putra

Ia dijangka mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang telah terjalin antara Malaysia dan Guinea-Bissau sejak November 1974.

Malaysia dan Guinea-Bissau terus mengekalkan hubungan yang erat, berasaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama dua hala serta dalam platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *