Presiden China Harap Lawatan Ke Malaysia Bina Hubungan Dua Hala Ke Era ‘50 Tahun Emas’

Presiden China, Xi Jinping disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sempena Lawatan Negara ke Malaysia yang bermula pada 15 April 2025. Foto Bernama

SEPANG, 15 Apr – Presiden China, Xi Jinping menyatakan harapan agar, dengan usaha bersama China dan Malaysia, lawatan negaranya ke Malaysia akan membuahkan hasil yang memberangsangkan serta membawa kepada permulaan era “50 Tahun Emas” baharu dalam hubungan dua hala, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan bertulis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Xi berkata beliau berharap lawatan ini akan membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan bertemakan kejiranan mesra dan saling menguntungkan antara kedua-dua negara.

Xi tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing atas undangan Presiden Xi Jinping pada 30 Mac 2023 mengeratkan hubungan antara Malaysia dan China. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Pesawat khas yang membawa presiden mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.30 petang.

Turut hadir menyambut ketibaan dan delegasinya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Sejurus tiba, Xi memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Nafis Norshid.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *