Polis Cekup Isteri Palsu Trump Depan Mar-a-Largo

Trump tidak mengaku bahawa Christy Renee Kimbrell adalah isterinya ketika wanita itu ditahan polis Florida baru-baru ini.

ORLANDO, 20 Sep – Seorang wanita ditahan selepas muncul di kediaman Mar-a-Lago milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini, sambil mendakwa dirinya sebagai isteri beliau.

The Independent melaporkan wanita berkenaan kemudian dikenal pasti sebagai Christy Renee Kimbrell, 49, dan sudah ditahan di Florida oleh pihak berkuasa, dan didakwa atas satu kesalahan menceroboh pada 16 September lalu.

Menurut laporan polis yang diperoleh Palm Beach Post, anggota Jabatan Polis Palm Beach, Florida menerima panggilan pada tengah hari berhubung kehadiran seorang ‘tetamu tidak diundang’ yang cuba menyerahkan sepucuk surat untuk Trump.

Seorang wanita bernama Christy Renee Kimbrell ditahan polis Florida atas dakwaan kononnya mengaku isteri Donald Trump. Foto The Indipendent

Kimbrell dilapor memberitahu ejen Perkhidmatan Rahsia AS bahawa dia ialah isteri Trump, memperkenalkan dirinya sebagai “Christy Renee Trump”, selain mendesak mahu bertemu dengannya.

Bagaimanapun, Trump tiada di kediaman itu kerana berada di United Kingdom (UK) bersama isteri sebenarnya, Melania Trump, untuk lawatan negara.

Palm Beach Post melaporkan polis mengenali Kimbrell kerana wanita itu beberapa kali cuba menceroboh kawasan kediaman berkenaan sebelum ini.

Rekod mahkamah menunjukkan wanita berkenaan tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

Siasatan juga mendapati Kimbrell pernah diberi amaran bertulis pada Mei lalu selepas berulang kali menghubungi pihak keselamatan Mar-a-Lago dan polis untuk meminta masuk ke kawasan itu.

Pada masa itu, dia dilaporkan tiba di ‘Palm Beach Bath and Tennis Club‘ dengan menaiki kenderaan perkhidmatan Uber sambil memberitahu pengawal keselamatan bahawa Trump menyuruhnya ‘pulang ke rumah’.

Jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS berkata, mereka bekerjasama rapat dengan Jabatan Polis Palm Beach selepas insiden berkenaan.

“Walaupun kejadian ini tidak menjejaskan operasi perlindungan kami, namun ia dipandang serius. Penahanan dikendalikan di peringkat tempatan dan kami menghargai tindakan pantas Jabatan Polis Palm Beach,” katanya dipetik The New York Post.

Sehari selepas ditahan, Kimbrell dibawa ke mahkamah daerah Palm Beach untuk sebutan kes, dan hakim memerintahkannya supaya tidak lagi menghubungi Trump atau kediaman Mar-a-Lago atau Trump International Golf Club.

Selain itu, hakim turut mengarahkan Kimbrell menjalani pemeriksaan kesihatan mental dalam tempoh 30 hari, selain melarangnya mengambil alkohol, dadah terlarang atau ubat tanpa preskripsi, lapor The New York Post.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *