Polis Bebas Siasat Muhyiddin, PM Anwar Tidak Masuk Campur

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan mencampuri siasatan polis ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan Presiden BERSATU itu yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).

Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan itu pihak berkuasa dengan mengikut keluhuran undang-undang negara.

“Setakat ini, kita ikut jalur (undang-undang). Serah kepada siasatan dan juga Peguam Negara.

“Saya tidak campur urusan (siasatan ke atas Muhyiddin),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya. Foto RTM

Polis sebelum ini memaklumkan menerima puluhan laporan terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional kerana didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata siasatan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Muhyiddin kemudiannya dirakam percakapannya mengenai perkara itu dan beliau dilaporkan menyerahkan beberapa dokumen kepada polis termasuk akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *